KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru masyarakat di negara ini, tidak hanya penganut agama Hindu untuk menghayati makna sebenar Deepavali.

Perdana Menteri berkata, Deepavali atau Pesta Cahaya tidak sekadar membawa kesejahteraan secara bersama tetapi meneruskan perjuangan ke arah kebaikan dan keadilan demi masa depan yang lebih baik.

“Kita tahu semangat Deepavali atau festival cahaya iaitu menyemarakkan lampu cahaya menggantilan kegelapan.

“Jadi ada sejarahnya yang rakyat Malaysia semua perlu tahu bahawa sambutan ini adalah tujuannya untuk menyatakan bahawa hidup ini lebih daripada sekadar makan dan minum,” katanya di sini pada Khamis.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali MADANI anjuran Kementerian Digital di Sentul Depot, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil serta hampir 5,000 pengunjung daripada pelbagai kaum dan agama.

Berucap lanjut, Perdana Menteri juga berharap semangat sambutan Deepavali kali ini memberikan ruang kepada seluruh masyarakat untuk membawa Malaysia ke arah cahaya yang bergemerlapan.

Jelas beliau, usaha itu selari dengan langkah-langkah yang dirancang dan sedang dilakukan oleh kerajaan, ketika ini.

“Apa-apa kelemahan dan kekurangan menteri-menteri boleh beritahu pada mereka dan kita akan perbaiki kerana semangat kita adalah dari yang gelap menuju kepada yang cerah… dari kegelapan kepada cahaya,” tambah Anwar.