Menterinya, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata ini kerana peruntukan untuk melaksanakan program itu tidak dimasukkan dalam Belanjawan 2024 yang dibentangkan pada 13 Oktober lalu.
"Kemungkinan PLKN ini untuk laksana semula pada 2024 memang tak ada kerana tidak dibajetkan pun (dalam Belanjawan 2024). Kalau kita nak menggunakan kem-kem wataniah, sepertimana yang saya sebut sebelum ini, kita memerlukan naik taraf dulu kem tersebut secara 'one-off'.
"Ada 13 kem wataniah di seluruh negara. Jadi perincian mekanisme pelaksanaannya, kementerian akan bersama-sama dengan semua pemegang taruh terutamanya pihak NGO, masyarakat dan yang lain sebelum kita memuktamadkan dan mendapat kelulusan untuk menghidupkan dan meneruskan PLKN, mungkin pada tahun 2025," katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 (Belanjawan 2024) peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pertahanan.
Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau menambah, program yang dimansuhkan pada 2018 itu telah diluluskan oleh Kabinet, untuk kementerian memulakan kajian bagi menghidupkan semula PLKN.
Jelas beliau, pelbagai pilihan telah dikaji termasuk cadangan agar melibatkan penyertaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Pada 31 Oktober lalu, Mohamad dilaporkan berkata, PLKN akan dilaksanakan menerusi dua fasa.
Menurutnya, Fasa 1 membabitkan pelajar Tingkatan Empat melalui silibus Kementerian Pendidikan (KPM), yang mengandungi silibus kokurikulum seperti kadet polis, bomba dan pengakap.
Manakala, pelajar Tingkatan Lima yang dikecualikan untuk menjalani latihan di Fasa 1 bagi memberi laluan kepada mereka melakukan persediaan menempuhi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pula akan menyertai Fasa 2 di kem latihan Askar Wataniah sedia ada.
Kementerian Pertahanan kemudian dalam kenyataan berasingan memaklumkan hanya remaja yang lahir pada tahun 2007 akan dipanggil untuk menjalani PLKN sekiranya program itu dilaksanakan semula.