KUALA LUMPUR: Satu kerangka baharu bagi mengawal selia perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet akan diperkenalkan pada 1 Ogos ini dan mula dikuatkuasakan pada 1 Januari 2025.


Ringkasan AI
  • Semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) mulai 1 Januari 2025.
  • Kegagalan memperoleh lesen ini adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan perundangan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
  • Langkah ini bertujuan memerangi jenayah siber seperti penipuan dalam talian, buli siber, dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak, serta mewujudkan ekosistem dalam talian yang lebih selamat.


Menerusi kerangka baharu itu, semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata, kegagalan memperoleh lesen selepas tarikh kuat kuasa adalah satu kesalahan,

Menurutnya, tindakan perundangan juga boleh diambil di bawah Akta 588.

Tambah MCMC, keputusan itu adalah selaras keputusan Jemaah Menteri bahawa dua perkhidmatan itu mesti mematuhi undang-undang Malaysia.

Ia adalah demi memerangi peningkatan kes jenayah siber termasuk penipuan dalam talian, buli siber dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

“Sebelum ini, platform-platform tersebut telah dikecualikan daripada keperluan pelesenan berdasarkan Perintah Komunikasi dan Multimedia (Pelesenan) (Pengecualian) 2000.

“Kerangka kawal selia baharu tersebut hanya terpakai kepada platform yang menepati syarat kelayakan pelesenan dan tidak melibatkan pengguna,” menurut kenyataan tersebut.

Tambah MCMC, langkah terbaharu itu juga bakal mewujudkan ekosistem dalam talian lebih selamat dan pengalaman lebih baik untuk pengguna, terutama buat kanak-kanak dan seisi keluarga.