LAHAD DATU: Seramai sembilan wanita berusia di antara 17 hingga 41 tahun serta 25 kanak-kanak golongan palauh ditahan di dua lokasi berbeza di daerah ini dalam Op COVID-19 yang dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, dua lokasi tersebut dikenal pasti sebagai kawasan utama masyarakat palauh menjalankan aktiviti meminta sedekah, serta melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"25 kanak-kanak yang ditahan berusia antara dua hingga lapan tahun merupakan anak kepada sembilan wanita dewasa tersebut ditahan atas faktor kebajikan dan keselamatan dan disiasat di bawah Seksyen 32 Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611).

"Selain itu, mereka juga boleh disiasat di bawah Seksyen 15 Ordinan kesalahan kecil negeri Sabah (Sabah Cap. 80) menyatakan mana-mana orang berkelakuan tidak senonoh (mengemis) di tempat awam, dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda RM25 sehari dan dipenjara 14 hari," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Menurut Rohan, lokasi utama kegiatan mengemis dalam kalangan masyarakat palauh ini boleh mengakibatkan gangguan lalu lintas dan menurut Kaedah 41 LN166/59, pejalan kaki tidak boleh berlengah-lengah di lintasan jalan dan jika sabit kesalahan boleh dikompaun RM300 jika pesalah terlibat dalam kemalangan jalan raya.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan, sekiranya sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman denda atau dipenjara selama enam bulan atau kedua-duanya sekali," katanya.

Tambah Rohan, pasukan polis turut menjalankan siasatan di bawah Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) (Kawalan Pergerakan Pemulihan)(No.3) 2021 di atas kesalahan tidak memakai pelitup separuh muka dan berkumpul tanpa penjarakan fizikal.