KUALA LUMPUR:Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Apartment Amber Court di Jalan Genting, Bentong dan Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Muar dilanjutkan bermula 7 sehingga 20 Januari 2021.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan ujian saringan kedua masih perlu dijalankan selain baki sampel saringan yang masih menunggu keputusan.

"Kerajaan sebelum ini telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Apartment Amber Court di Jalan Genting, Bentong yang dijadualkan tamat pada 6 Januari 2021.

"Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 1,180 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 454 kes positif COVID-19 telah direkodkan.

"KKM turut mengesahkan ujian saringan kedua masih perlu dijalankan kepada sebahagian kontak rapat dan terdapat risiko yang tinggi jangkitan COVID-19 di lokaliti ini," katanya semasa sidang media, pada Selasa.

Dalam pada itu kata Ismail Sabri, PDRM juga telah menahan 152 individu atas kesalahan ingkar arahan SOP, dan kesemuanya telah dikompaun pada Isnin.

Jelasnya lagi, Operasi Benteng pula telah berjaya menahan 29 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta merampas empat buah kenderaan darat dan tiga bot/kapal dengan 109 Sekatan Jalan Raya (SJR) dilaksanakan.

Tambahnya, seramai 7,805 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 540 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan.

Ujarnya, seramai 89,941 individu telah dibenarkan pulang.

Katanya, lebih 26.3 juta (26,334,428) pengguna telah memuat turun dan mengaktifkan MySejahtera manakala lebih 1.4 juta (1,405,561) premis perniagaan telah mendaftar dengan aplikasi ini.

Sementara itu jelas Ismail, sehingga 4 Januari 2021, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan seramai 99,163 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan COVID-19 yang melibatkan 3,536
majikan.

"Daripada jumlah ini sebanyak 2,079 telah disahkan positif COVID-19 manakala 97,084 lagi adalah negatif.

"Sehingga kini juga, sebanyak 758 buah klinik telah terlibat dengan program saringan ini.

"Kerajaan telah menguatkuasakan arahan ini bermula 1 Januari 2021 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) di mana majikan yang gagal mematuhi arahan ini akan dikenakan tindakan undang-undang dan penalti," ujarnya lagi.


[SIDANG MEDIA] Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan & Bersyarat (PKPP/PKPB) - 5 Jan 2021