Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata sehingga kini hampir 2,500 pegawai dan pegawai berpangkat rendah ditugaskan mengawal kawasan berkenaan dalam usaha mengekang penularan COVID-19 dalam kalangan pendatang tanpa izin.
"Wabak ini berkemungkinan dibawa masuk pendatang tanpa izin yang menggunakan laluan-laluan tikus dan sudah pasti kehadiran mereka tanpa melalui proses saringan dan pemeriksaan amat berisiko tinggi," katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman di sini, hari ini.
Selain penugasan kawalan sempadan dan perairan negara, Abdul Hamid memaklumkan pihaknya turut mengadakan beberapa operasi termasuk Op Nyah, Op Wawasan, Op Awas dan Op Batas di Sarawak selain Op Taring di Sabah bagi mengelak pendatang tanpa izin masuk ke negara ini.
-- BERNAMA