KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata beliau dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah berniat jahat dan cuai untuk menahan bekas suami guru tadika M. Indira Gandhi serta mengembalikan anak perempuan mereka yang dilarikan lelaki mualaf itu.
Abdul Hamid, 65, berkata beliau telah mendapatkan bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk menjejaki K.Patmanathan, atau nama Islamnya Muhammad Riduan, dan melakukan pelbagai usaha termasuk memohon bantuan secara rasmi dari negara jiran bagi mengenal pasti lokasi lelaki itu.
“Pada 2019, berdasarkan sumber dan siasatan yang dilaksanakan oleh pihak PDRM, saya mengetahui secara am kemungkinan lokasi Patmanathan berada iaitu di Thailand. Bagaimanapun, usaha untuk mengesan dan menangkap beliau masih diteruskan,” katanya menerusi pernyataan saksi di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Indira menyaman Ketua Polis Negara (KPN), PDRM, Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan berhubung kegagalan menangkap Patmanathan selepas lelaki itu melarikan anak mereka, Prasana Diksa.
Abdul Hamid berkata semasa merasmikan satu majlis berhubung Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman pada 28 Jan 2020, beliau telah mengeluarkan kenyataan bahawa PDRM telah dan sedang berusaha memuktamadkan kes itu.
“Saya telah memberikan jaminan bahawa pihak PDRM tidak akan membiarkan kes ini berterusan dan sedang berusaha mencapai 'happy ending' serta menekankan kebajikan Prasana selain menghilangkan rasa rindu ibu terhadap anaknya.
“Saya juga menekankan bahawa pihak PDRM sedang berusaha untuk mengesan Patmanathan tetapi tidak menghebahkan kepada media demi kepentingan awam,” kata saksi pertama defendan itu.
Abdul Hamid berkata beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan atau memberi petunjuk bahawa dirinya atau PDRM tidak menahan Patmanathan walaupun tahu lokasinya.
“Saya telah menyatakan dalam beberapa sidang media bahawa usaha dan tindakan dijalankan untuk mengesan serta menangkap Patmanathan. Berdasarkan rekod, saya dan PDRM melaksanakan usaha dan tindakan yang wajar bagi mematuhi perintah mahkamah untuk melaksanakan waran komital terhadap Patmanathan.
“Pada bila-bila masa, saya dan PDRM tidak membuat apa-apa tinggalan tanggungjawab dalam melaksanakan waran komital kerana siasatan, usaha dan tindakan anggota serta pegawai PDRM untuk mengesan dan menangkap Patmanathan adalah berterusan sehingga kini,” katanya.
Kepada soalan Peguam Kanan Persekutuan Andi Razalijaya A. Dadi mengenai perintah mandamus yang mengarahkan polis menangkap Patmanathan, Abdul Hamid berkata semasa memegang jawatan KPN, beliau amat komited memastikan perintah itu dilaksanakan dan menggandakan usaha mengesan lelaki berkenaan.
“Arahan saya jelas, saya tidak bermain dengan sentimen politik, agama serta sandiwara dalam kes ini. Saya amat simpati dengan Indira… saya arahkan seorang pegawai untuk bertemu Indira dengan menjelaskan serta meyakinkan beliau yang saya sendiri ambil berat terhadap penderitaan yang dialaminya dan saya minta Indira sendiri datang bersemuka dengan saya,” katanya.
Indira pula berkata Prasana masih belum dikembalikan kepadanya kerana KPN tidak mengambil sebarang tindakan hingga hari ini.
“Defendan pertama (KPN) menyatakan dalam kenyataan medianya pada 27 Jan 2020 bahawa defendan pertama arif akan lokasi Patmanathan dan sedang berusaha mencapai ‘happy ending’ untuk plaintif.
“Kenyataan defendan pertama dengan jelas menunjukkan bahawa beliau mempunyai pengetahuan lokasi Patmanathan tetapi gagal untuk menangkap lelaki itu dan mengembalikan semula Prasana kepada saya,” menurutnya dalam pernyataan saksi.
Raja Ahmad Mohzanuddin Shah kemudian menetapkan 7 Mei ini untuk kedua-dua pihak berhujah.
Indira diwakili peguam Rajesh Nagarajan, Sachpreetraj Singh Sohanpal, Pavitra Loganathan dan Vigines Shankar.
Menerusi saman yang difailkan pada 28 Okt 2020, Indira mendakwa KPN telah dengan sengaja dan cuai tidak menghiraukan perintah mandamus Mahkamah Persekutuan kerana gagal membuat siasatan atau mengambil tindakan sewajarnya untuk mengembalikan Prasana yang kini berusia 17 tahun kepadanya.
Prasana Diksa dilarikan Muhammad Riduan ketika berusia 11 bulan sejurus selepas lelaki itu memeluk Islam.
Plaintif juga mendakwa kelakuan kesemua defendan secara langsung menyebabkan perpisahan antara beliau dengan anak bongsunya itu berlanjutan sehingga hari ini dan Muhammad Riduan berjaya melarikan diri.
Pada 2009, Muhammad Riduan meng-Islamkan tiga anak mereka tanpa persetujuan Indira sebelum ke Mahkamah Syariah untuk mendapatkan hak penjagaan namun pada 2018, Mahkamah Persekutuan memutuskan penukaran agama satu pihak ketiga-tiga anak mereka sebagai batal dan tidak sah.
Mahkamah Tinggi Ipoh memberikan hak penjagaan penuh kanak-kanak itu kepada Indira pada 2010 manakala pada 2016, Mahkamah Persekutuan mengesahkan perintah mandamus Mahkamah Tinggi yang mengarahkan polis dan perayu menangkap Muhammad Riduan serta mendapatkan semula Prasana untuk dikembalikan kepada Indira.
-- BERNAMA
Bernama
Mon Feb 05 2024

Abdul Hamid berkata beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan atau memberi petunjuk bahawa dirinya atau PDRM tidak menahan Patmanathan walaupun tahu lokasinya. - Gambar fail/Sinar Harian
Sarawak cadang tambah dua PUSPEN
Kementerian Pembangunan Wanita Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak bercadang untuk menambah dua pusat pemulihan narkotik (PUSPEN) di Sarawak.

Kes cabul di masjid: Polis siasat dakwaan suspek miliki kad OKU
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata suspek baru sahaja ditahan dan pihaknya masih menyiasat kesahihan dakwaan terbabit.
ASEAN 2025 | 21 Feb
Perkembangan ASEAN 2025 setiap jam 6 petang, membawa berita terkini dari negara-negara ASEAN termasuk ekonomi, kemajuan teknologi, dan budaya di rantau ini.
Informasi lengkap mengenai kerjasama serantau, inisiatif pembangunan, serta pencapaian negara-negara ASEAN dalam membentuk masa depan yang lebih mampan dan dinamik.
Informasi lengkap mengenai kerjasama serantau, inisiatif pembangunan, serta pencapaian negara-negara ASEAN dalam membentuk masa depan yang lebih mampan dan dinamik.

Polis tumpas sindiket proses vape berisi dadah
Kegiatan memproses vape dicampur dengan dadah jenis methamphetamine sejak enam bulan lalu terbongkar dengan penangkapan seorang wanita di Selangor.

Kanak-kanak mangsa cabul di masjid menangis, menjerit trauma
Menerusi satu video tular di platform Instagram, mangsa masih berada dalam keadaan menggigil semasa menceritakan detik hitam dirinya dicabul lelaki tersebut ketika bersolat Subuh.

'Fahmi pergi selepas ibu ucap kalimah syahadah di telinga'
Nuraini Mohamad Isa, 37 sempat mengucapkan dua kalimah syahadah ke telinga anaknya itu sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir.
Malaysia manfaat peranan ASEAN perkasa pembangunan luar bandar - Ahmad Zahid
Malaysia akan memanfaatkan peranan ASEAN dalam memperkasa pembangunan luar bandar melalui perancangan serantau yang lebih kukuh dan bersepadu.
Malaysia komited pimpin ASEAN tangani jenayah rentas sempadan - Ahmad Zahid
Malaysia komited untuk memimpin ASEAN dalam menangani pelbagai bentuk jenayah rentas sempadan termasuk penipuan dalam talian, penyeludupan manusia dan pengubahan wang haram, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Polis Filipina tahan 450 individu terlibat judi online
Polis filipina menahan lebih 450 orang dalam serbuan terhadap operator permainan dalam talian atau judi online yang didakwa dikendalikan oleh warga China di Manila pada Khamis.
Lebuh raya hubungkan India-Myanmar-Thailand tergendala akibat konflik
Lebuh raya yang menghubungkan India-Myanmar-Thailand, bertujuan meningkatkan integrasi ekonomi ASEAN dan memperluas pengaruh India dalam perdagangan dan perniagaan di Asia Tenggara terus berdepan halangan.

PDRM tidak berniat jahat atau cuai untuk tahan suami Indira Gandhi - Bekas KPN
Abdul Hamid berkata beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan atau memberi petunjuk bahawa dirinya atau PDRM tidak menahan Patmanathan walaupun tahu lokasinya.

Segelintir ahli politik sengaja cetus isu perkauman
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hasaan menyifatkan tindakan itu sesuatu yang sengaja dilakukan demi kepentingan politk dan peribadi.

Tiada bukti Zakir Naik pengganas - Musa Hassan
Di bawah undang-undang ekstradisi suatu permohonan boleh ditolak jika wujud keadaan seperti pendakwaan bersifat politik disebabkan ras, agama, kerakyatan dan fahaman politik.

Bekas KPN, Tan Sri Mohd Bakri Omar meninggal dunia
Bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Bakri Omar, 66, meninggal dunia di Institut Kanser Negara, Putrajaya kira-kira pukul 8.45 pagi ini akibat kanser.