KUCHING: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Sarawak akan dilanjutkan dengan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada dikekalkan.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memaklumkan keputusan itu dibuat susulan kes COVID-19 yang masih tinggi di Sarawak.

"Memandangkan kes COVID-19 masih tinggi, maka JPBN telah bermesyuarat dan bersetuju bahawa PKP dilanjutkan dan SOP sedia ada dikekalkan," menurut JPBN dalam kenyataan di sini, pada Ahad.

Hari ini sebanyak 513 kes baharu COVID-19 dikesan dengan tiga kes kematian baharu melibatkan jangkitan wabak itu dilaporkan.

Sementara itu, JPBN juga memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari di lima lokaliti susulan peningkatan kes positif COVID-19 di kawasan terbabit.

PKPD dilaksanakan di Rumah Panjang (Rh) Charlee anak Ujang, Sg Sap, Tatau; Rh Sibat anak Agang, KM5, Jalan Samarakan Ulu Segan, Bintulu dan Kuarters Ling Hock Transport Sdn Bhd, Bintulu bermula semalam hingga 9 Julai.

"PKPD turut dilaksanakan di Rh Jerome, Sungai Kesa, Sarikei dan Rh Jumbun, Simpang Koko, Sarikei bermula esok hingga 14 Julai," menurutnya.

Sementara itu, JPBN memaklumkan pelajar yang ingin kembali menyambung pengajian di luar negara dan memerlukan vaksinasi, mereka boleh mengemukakan permohonan kepada Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 Sarawak (CITF Sarawak) melalui e-mel citfsarawak@sarawak.gov.my

-- BERNAMA