Kerajaan digesa untuk memberi kelonggaran kepada peniaga kecil di pasar raya besar untuk membuka perniagaan mereka sebagai membantu golongan tersebut, yang terjejas sumber pendapatan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, ini kerana pasar raya besar secara amnya mematuhi peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) seperti penjarakan sosial dan menyediakan cecair pembasmi kuman.

"Kita faham, kerajaan terpaksa mengambil langkah drastik ini dalam mengekang penularan jangkitan COVID-19, pun begitu kerajaan boleh mempertimbangkan cadangan ini," katanya kepada Astro AWANI di sini pada Jumaat.

Ameer Ali yang juga Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera (BRO) menambah, pasar raya besar seperti Mydin dikawal ketat dengan menempatkan pengawal keselamatan yang sentiasa memantau penjarakan sosial.


Jadi ujarnya, kedai-kedai kecil yang terletak di dalam premis itu secara tidak langsung juga termasuk dalam SOP tersebut.

Sebagai memahami keperitan mereka, Ameer Ali menjelaskan, peniaga-peniaga kecil di dalam pasar raya Mydin yang terpaksa menutup pengoperasian sepanjang tempoh PKP dikecualikan daripada membayar sewa.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, sepanjang tempoh pandemik ini, Mydin terpaksa menghadkan kemasukan kepada 200 pelanggan sahaja pada satu-satu masa.

Sementara di bahagian basah yang menjadi tumpuan pelanggan, kata beliau, hanya 100 individu dibenarkan dan dikawal oleh beberapa pengawal keselamatan.

Beliau juga mencadangkan orang ramai supaya berfikiran lebih inovatif dengan adanya kecanggihan teknologi komunikasi seperti menjadi pembeli peribadi atau personal shopper.

Dengan ini katanya, kesesakan di pasar raya boleh dikurangkan dan orang ramai boleh terus kekal di rumah.

Pengendali rangkaian peruncitan produk tempatan itu juga sebelum ini mengambil inisiatif memperkenalkan platform beli-belah dalam talian baharu, Mydin Express sepanjang tempoh PKP.

Menerusi platform itu, pesanan akan diambil melalui WhatsApp dan e-mel. Pembayaran hanya perlu dibuat ketika mengambil barang tersebut di laluan pandu lalu di Mydin berhampiran.