Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seramai 683 individu lagi kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pada Rabu.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah tersebut menunjukkan peningkatan berbanding hari sebelumnya iaitu 643 tangkapan.

Katanya, daripada jumlah tersebut, seramai 598 individu direman sementara 85 lagi dibebaskan dengan jaminan polis.

"Seramai 579 individu telah dituduh di mahkamah atas kesalahan mengingkari PKP.

"Jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP sehingga 30 April adalah sebanyak 22,432 individu," katanya dalam sidang media harian, di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan sebanyak 828 sekatan jalan raya di seluruh negara dilakukan setakat Rabu.

Katanya, PDRM bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut melakukan pemeriksaan ke atas 633,821 kenderaan.

"Sebanyak 40,601 pemeriksaan mengejut telah diadakan di seluruh negara dengan sebanyak 6,203 premis telah diperiksa oleh pihak berkuasa," katanya.