Turut berangkat Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.
Keberangkatan tiba baginda pada 9 pagi disambut Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, Panglima Armada Barat Laksamana Madya Datuk Shamsuddin Ludin, Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris dan Panglima Briged Kedua Infantri Malaysia Brig Jen Datuk Asri Shukor.
Majlis dimulakan dengan dendangan lagu kebesaran negeri Perak, diikuti pemeriksaan kawalan kehormatan utama oleh Sultan Nazrin, yang terdiri daripada tiga pegawai kanan polis dan 102 pegawai rendah polis diketuai DSP Mohd Faizan Ahmad dan dibantu ASP Wan Ahmad Fahmi, manakala pegawai pembawa panji-panji ialah Insp Muhammad Syamil Abdul Manan.
Barisan perhimpunan pula melibatkan 408 pegawai dan anggota pasukan keselamatan termasuk Veteran Angkatan Tentera Malaysia dan pesara polis.
Setelah pemeriksaan kawalan kehormatan selesai, tiupan Paluan Akhir (Last Post) dimainkan dan Jalur Gemilang diturunkan.
Majlis yang berlangsung dalam cuaca hujan renyai diteruskan dengan bacaan doa oleh ASP Mohd Mahyuddin Mohd Mokhtar dari Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, diikuti deklamasi sajak bertajuk "Darah Yang Terpercik Di Baju" hasil nukilan Norazimah Abu Bakar pada 2020.
Sajak itu disampaikan oleh Kpl Nurul Syuhada Azmi dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak dan L/Kpl Mohamad Fazreen Jamaluddin daripada Batalion Kesembilan Regimen Renjer Diraja.
Sebaik selesai, tiupan Rouse dimainkan dan Jalur Gemilang dinaikkan semula diikuti lagu kebesaran negeri Perak.
Sultan Nazrin kemudian berkenan berangkat ke Majlis Santapan di Dewan Bankuet, sebelum berangkat pulang.
-- BERNAMA