JOHOR BAHRU:Nasib sepasang suami isteri yang terkandas di negeri ini susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 selama dua minggu mulai 13 Jan lalu, mendapat perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mereka yang menyertai golongan gelandangan menerima bantuan di pusat pengedaran makanan di Laman Tun Sri Lanang, di sini, akan dihantar pulang ke kediaman mereka di Kuala Selangor, selewat-lewatnya esok.

Muhamad Khairil Karim, 38 tahun, dan isterinya, Hamidah Kadir, 36 tahun, serta bayi mereka, Mohammad Rizki berusia enam bulan, terpaksa menumpang di rumah abang angkat Muhamad Khairil di Kampung Melayu Majidee, di sini, sejak 13 Jan lalu.

Katanya, dia dan isteri menaiki bas dari Klang ke Larkin Sentral pada petang 12 Jan lalu dengan tujuan menziarahi keluarganya dan keluarga mertua di Simpang Renggam.

"Saya bertolak dari Kuala Selangor pada malam 12 Jan. Saya dapat tahu PKP dilaksanakan sebaik sahaja saya sampai di Terminal Bas Larkin pada 13 Jan.

"Kerana itu, saya tidak dapat rentas negeri dan terpaksa menumpang sementara di rumah abang angkat.

"Hasrat untuk pulang ke rumah mertua di Segamat juga tidak kesampaian sebab tidak dapat rentas daerah," kata pekerja kontrak itu kepada pemberita ketika ditemui di pusat pengedaran makanan gelandangan itu hari ini.

Lebih malang lagi, beg dompetnya tercicir dan kesemua dokumen penting miliknya seperti kad pengenalan dan lesen kenderaan hilang.

Bagi Hamidah, bantuan yang dihulurkan kerajaan negeri Johor melegakan dia dan suami.

"Rasa gembira dapat pulang ke Selangor. Terima kasih pada pihak berkenaan yang membantu kami untuk pulang ke sana," katanya.


Sementara itu, Pengarah JKM Johor Mohamad Hapil berkata, sepanjang PKP 2.0 sekurang-kurangnya 10 individu yang terkandas telah diberi bantuan untuk dihantar pulang.

"Minggu lepas, kita kenal pasti satu keluarga yang kita dah hantar balik ke Pahang. Sebelum itu, ke Terenganu.

"Kalau yang di Johor Bahru ini, selalunya yang tinggal berdekatan seperti di Tangkak, Segamat dan juga Jasin, Melaka.

"Jadi, itulah konsep kita, santun dan selamat, iaitu selamat kembali kepada keluarga," kata Mohamad.