JANGKAAN kesan ekonomi akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) 2.0 yang lebih bersasar mendapat pelbagai reaksi.

Pengumuman Proklamasi Darurat sehingga 1 Ogos 2021 turut menghangatkan lagi perdebatan umum.

Kenyataan berikut adalah pandangan penyelidik Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan EIS-UPMCS (EU-ERA), PERKESO, yang dapat merungkai sebahagian persoalan ekonomi yang wujud akibat pengumuman PKP 2.0 dan Proklamasi Darurat.

1. PKP 2.0 mengimbangi risiko kesihatan dan ekonomi

EU-ERA berpandangan PKP 2.0 yang dilaksanakan pada 13-26 Januari 2021 di enam negeri merupakan fine-tuning untuk memastikan risiko kesihatan dan risiko ekonomi dapat diimbangi.

Langkah membenarkan sektor-sektor ekonomi beroperasi dan menghadkan jumlah pekerja adalah keputusan “ideal” di dalam situasi sekarang bagi mengurangkan beban ekonomi kepada individu dan negara.

Keseimbangan di antara risiko jangkitan COVID-19 dan risiko ekonomi menjadi pertimbangan utama kerajaan bagi memastikan kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat terjaga

Terdahulu, di antara Mac dan Mei 2020, kita telah memberi keutamaan kepada risiko kesihatan dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakkan 1.0 (PKP 1.0).

Akibatnya, sektor-sektor ekonomi telah terjejas teruk yang seterusnya memberi implikasi yang besar kepada pasaran buruh. Contohnya, kadar pengangguran pada bulan April dan Mei berada pada paras melebihi 5.0%, berbanding paras normal sekitar 3.3%.

2. Pemulihan ekonomi 2021 dijangka lebih perlahan

EU-ERA menjangkakan pertumbuhan ekonomi 2021 akan lebih perlahan berbanding jangkaan Belanjawan 2021.

Jangkaan ini disandarkan kepada dua perkara berikut.

Pertama, tren ekonomi semasa tempoh perlaksanaan PKPB di Lembah Klang menunjukkan penurunan beberapa petunjuk ekonomi.

Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) menurun sebanyak -0.5% pada Oktober 2020 dan kadar pengangguran meningkat sebanyak 0.1% pada bulan yang sama.

Kedua, keenam-enam negeri PKP 2.0 iaitu  Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Johor, Pulau Pinang, Melaka dan Sabah, merupakan tulang belakang kepada ekonomi Malaysia yang menyumbang sekitar 66% kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

Keadaan ini dijangka akan mempengaruhi prestasi ekonomi sukuan pertama 2021 yang seterusnya memperlahankan pertumbuhan tahunan.

3. Kebenaran pengoperasian sektor ekonomi perlu mengambil kira rantaian bekalan

EU-ERA berpandangan walaupun kerajaan telah mengenal pasti lima sektor yang dibenarkan untuk beroperasi (pengilangan dan pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perdagangan dan pengedaran, serta perladangan dan komoditi), sektor-sektor lain yang menjadi pembekal kepada lima sektor ini perlu dibenarkan juga beroperasi pada kapasiti tertentu.

Hal ini kerana sektor-sektor di dalam ekonomi tidak terpisah dan saling bergantung antara satu sama lain.

Hubung kait di antara sektor-sektor ekonomi ini diterjemahkan kepada rantaian bekalan pengeluaran.

Jika tidak, pengeluaran di kelima-lima sektor perlu tadi berkemungkinan akan terkesan kerana gangguan rantaian bekalan.

Contohnya, sektor pengeluaran dan perkhidmatan makanan memerlukan bekalan kotak dan plastik bagi melengkapkan proses keseluruhan produk makanan tersebut.

4. Perlukan rangsangan jika PKP 2.0 menjangkaui tempoh dua minggu

Bagi tempoh perlaksanaan selama dua minggu, EU-ERA berpandangan kesan ekonomi akibat PKP 2.0 adalah sederhana.

Bagaimanapun, bantuan bersasar kepada golongan terjejas terutamanya mereka yang bekerja di sektor tak formal dan pekerja bergaji harian perlu diambil perhatian.

Sekiranya PKP 2.0 dilanjutkan, pakej rangsangan mini-PENJANA yang bersasar perlu dipertimbangkan. Cadangan pakej rangsangan ini bertujuan untuk menyokong pemulihan sektor ekonomi dan pekerjaan yang terjejas.

5. Proklamasi darurat sebagai instrumen pengukuhan pemulihan kesihatan dan ekonomi

EU-ERA mendapati pengumuman PKP 2.0 dan proklamasi darurat di seluruh negara merupakan pendekatan dualistik yang memberi pengukuhan dalam dua aspek.

Pertama, langkah ini adalah baik untuk memastikan perancangan pemulihan ekonomi dapat dilaksanakan dengan mudah seperti yang telah dirancang.

Meskipun darurat berkuat kuasa dan terdapat had yang ditetapkan terhadap beberapa sektor ekonomi, namun secara keseluruhannya aktiviti ekonomi masih diberi kelonggaran dan keterbukaan untuk beroperasi berbanding perlaksanaan PKP 1.0.

Justeru itu, pelan penjanaan semula ekonomi dijangka mampu memberi impak positif walaupun terdapat sekatan tertentu yang dikenakan.

Kedua, pelaksanaan darurat ini dilihat amat penting dalam mengekalkan kestabilan dan keutuhan tadbir urus kerajaan semasa.

Ini kerana, fokus utama perlu diberikan kepada penyelesaian masalah kesihatan awam dan kelangsungan ekonomi rakyat yang perlu direalisasikan tanpa ada sebarang campur tangan daripada pihak luar.

Sebarang kekacauan politik perlu diredakan pada saat genting ini bagi memastikan kekuatan kerajaan boleh ditumpukan kepada aspek pemulihan ekonomi.

Tambahan lagi, ketekunan kerajaan dalam merencanakan agenda pemulihan ekonomi memerlukan sokongan semua lapisan masyarakat tanpa mengira fahaman politik dan agenda persendirian.

Malah, kestabilan politik merupakan faktor penting dalam memberikan keyakinan kepada pelabur untuk terus membuat pelaburan di Malaysia.


*  Kenyataan ini dikeluarkan oleh Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan EIS-UPMCS (EU-ERA), PERKESO

** Pandangan yang dinyatakan dalam kenyataan ini adalah pendapat penyelidik EU-ERA semata-mata dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi Pejabat Insurans Pekerjaan, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) atau Astro AWANI.