PUTRAJAYA: Keciciran pembelajaran ketika pandemik COVID-19 dilihat sebagai faktor utama yang mempengaruhi pencapaian murid sekolah Malaysia dalam laporan Programme for International Student Assessment (PISA) 2022.

Dalam ketiga-tiga domain Literasi yang ditaksir iaitu Matematik, Saintifik, dan Bacaan, Malaysia mencatatkan kemerosotan.

Bagi Literasi Matematik yang menjadi domain utama, skor purata menurun sebanyak 31 mata dari 440 dalam PISA 2018 kepada 409; Literasi Saintifik turun 22 mata dari 438 kepada 416; sementara Literasi Bacaan turun 27 mata dari 415 kepada 388.

“Skor purata murid Malaysia adalah lebih rendah daripada skor purata Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) bagi ketiga-tiga literasi,” kata Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah), Azman Adnan ketika mengumumkan pencapaian Malaysia dalam laporan tersebut, di sini, pada Selasa.

PISA merupakan kajian pentaksiran antarabangsa yang mengukur pencapaian pelajar berumur 15 tahun dalam tiga domain Literasi tersebut serta program pentaksiran dan kajian perbandingan anjuran OECD.

Penilaian ini sekadar melaporkan statistik pencapaian dan tidak menyusun kedudukan antara negara-negara seluruh dunia yang menyertainya, di mana 81 negara mengambil bahagian dalam PISA 2022.

Kajian PISA dilakukan setiap tiga tahun (2021 ditangguh ke 2022 kerana pandemik), dan ini merupakan kali kelima Malaysia mengambil bahagian dalam PISA selepas 2009, 2012, 2015 dan 2018.

Untuk PISA 2022, 7,069 murid dari 199 buah sekolah dan institusi pendidikan di segenap pelusuk negara termasuk di kawasan luar bandar dan jenis sekolah swasta dinilai sebagai sampel mewakili 390,400 murid berusia 15 tahun di Malaysia.

Secara keseluruhannya di Malaysia, pencapaian murid perempuan dalam PISA 2022 adalah lebih baik daripada murid lelaki dalam ketiga-tiga domain Literasi.

Dapatan kajian PISA 2022 juga menunjukkan bahawa peratus murid yang menghadapi cabaran adalah tinggi semasa pembelajaran dalam tempoh penutupan sekolah ketika pandemik, namun respons murid Malaysia terhadap pengalaman mereka belajar dalam tempoh itu turut menunjukkan impak positif.

“Sebanyak 76.3 peratus murid di Malaysia merindui aktiviti sukan dan aktiviti fizikal lain di sekolah semasa penutupan sekolah berbanding 57 peratus direkodkan murid negara-negara OECD,” maklum Azman.

Dapatan juga menunjukkan 44.1 peratus murid di Malaysia tidak pernah mengalami masalah mendapatkan peranti digital apabila memerlukannya berbanding 47.1 peratus dicatat OECD, sementara 19.6 peratus murid Malaysia tidak pernah mengalami masalah untuk mengakses Internet berbanding 33.1 peratus yang direkod OECD.

Kata Azman, penilaian dapatan antarabangsa ini adalah penting untuk melihat realiti senario pendidikan sekolah di Malaysia sebagai rujukan bagi memperbaiki segala kelemahan.

“Kita akan perhalusi semua dapatan ini untuk kita perincikan, dan daripada situ kita akan melihat apa strategi dan intervensi yang sesuai untuk kita perkukuhkan kualiti pendidikan di masa akan datang,” tegasnya.