Ringkasan AI
- KPM melaksanakan program ini selama tiga bulan untuk murid Tahun 1 yang belum menguasai kemahiran membaca, menulis, dan mengira (3M).
- Saringan dilakukan selepas tiga bulan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) untuk mengenal pasti murid yang memerlukan intervensi. Murid yang belum menguasai 3M akan terus dalam program intervensi.
- Guru menggunakan bahan seperti Modul Kit Literasi Bahasa Melayu, Matematik, Bahasa Inggeris, dan bahan bacaan awal untuk membantu murid menguasai 3M.
Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Azman Adnan berkata program tersebut berlangsung selama tiga bulan sebelum murid dibenarkan kembali ke kelas perdana.
“Bermula kalendar akademik yang terkini, kita telah laksanakan saringan apabila anak-anak kita melalui proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) selama tiga bulan.
“Daripada saringan itu, kita dapat sejumlah angka anak-anak kita yang tidak menguasai literasi, numerasi atau kedua-duanya. Maka kita laksanakan intervensi.
“Anak-anak kita ini diberikan tindakan tertentu untuk pastikan dalam tempoh tiga bulan selepas itu mereka menguasai literasi dan numerasi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Selasa.
Program Intervensi Tahun 1 selama tiga bulan pastikan penguasaan 3M murid lemah – KP Pendidikan
Tambah Azman, murid-murid yang terlibat dalam program intervensi hanya akan dibenarkan menyertai kelas perdana selepas menguasai 3M.
Manakala bagi murid yang masih belum menguasai 3M akan kekal dalam program intervensi bagi tempoh 3 bulan selanjutnya.
"Asasnya, setelah kemahiran 3M ini dapat dikuasai, barulah mereka boleh teruskan proses PdP seterusnya,” ujarnya.
Menurutnya lagi, guru-guru menggunakan bahan yang bersesuaian dengan murid sepanjang bimbingan dijalankan.
Contohnya, bahan yang digunakan adalah Modul Kit Literasi Bahasa Melayu, Matematik dan Bahasa Inggeris, Modul Asas Literasi, bahan bacaan awal yang disediakan oleh pihak sekolah dan bahan yang bersesuaian di pasaran.
Agenda AWANI: Program intervensi kurikulum