Ringkasan AI
- Kementerian Dalam Negeri sedang mengkaji pembukaan beberapa pintu sempadan baharu membabitkan kawasan yang telah dipersetujui dengan Kerajaan Republik Indonesia.
- Menteri KDN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia melihat kepada keperluannya pada masa akan datang selepas ibu kota republik itu berpindah dari Jakarta ke Kalimantan.
Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, ia melihat kepada keperluannya pada masa akan datang selepas ibu kota Republik itu berpindah dari Jakarta ke Kalimantan.
“ Antara perkara yang kita persetujui ialah pembukaan beberapa pintu masuk rasmi yang baharu di sepanjang sempadan Kalimantan dengan Sabah dan Sarawak. Kita telah memeterai satu memorandum persefahaman (MoU) untuk membuka pintu masuk rasmi yang baharu ini, (yang sebenarnya) sebagai reaksi kita kepada rancangan Indonesia untuk membuka Nusantara sebagai ibu negara yang baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan bangunan Baitul Mahabbah Bekenu di Subis dekat sini, pada Khamis.
Jelas Saifuddin, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan bajet sehingga RM1 bilion seperti yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Belanjawan 2024.
"Ini bermakna bajet itu terletak di bawah Kementerian Ekonomi dan KDN yang termasuk sebagai agensi pelaksanaan selain daripada Kementerian Komunikasi dan Kementerian Kerja Raya,” tambahnya.
Sempadan darat Malaysia-Indonesia di pulau Borneo adalah sepanjang 1,881km.
Sementara itu, Saifuddin turut berkata. Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Kalabakan di Sabah dan Tebedu di Sarawak kini berada dalam senarai keutamaan untuk dinaik taraf oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Terdapat sembilan lagi ICQS yang berada dalam senarai berkenaan, yang bermaksud diutamakan dari sudut agihan peruntukan dan keutamaan projek berbanding senarai lain.
“ Kita kena ingat kawasan sempadan ini panjang. Laluannya pada masa ini ada tiga cara; jalan darat, jalan sungai, dan hanya boleh melalui jalan udara.
“ Jadi di sepanjang sempadan Kalimantan dengan Sabah dan Sarawak, kita harus setting mengikut urutan keutamaan.
“ICQS Tebedu masuk dalam kategori yang kita katakan senarai keutamaan kita, begitu juga di Sabah keutamaan kita adalah pintu masuk melalui Kalabakan,” katanya.
Jelasnya lagi, proses ini memakan masa dan untuk membangunkan urutan keutamaan, kementerian akan utamakan dari segi peruntukan kerana perlu bangunkan kompleks yang ada elemen polis, imigresen dan kuarantin.
“Apabila kita bangunkan itu, dia mesti ada kemudahan komunikasi, jadi perlu ada menara telekomunikasi kemudian libatkan pembinaan jalan dan sebagainya, tambahnya.