Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye berkata Jabatan Laut Malaysia pada masa yang sama perlu mengarahkan semua operator membuat pemeriksaan menyeluruh terhadap sistem pendawaian dalam kenderaan air masing-masing agar sentiasa dalam keadaan baik.
"Insiden kebakaran sebuah feri penumpang yang dalam perjalanan dari Pulau Langkawi ke Kuala Perlis pukul 2.50 petang Isnin seharusnya membuka mata semua pihak mengenai kepentingan aspek keselamatan," katanya dalam satu kenyataan.
- Feri Langkawi bawa 30 penumpang terbakar
- Feri Langkawi terbakar, 52 penumpang dan 6 kru berjaya diselamatkan
- Polis buka kertas siasatan awal insiden feri terbakar
- Penumpang feri terbakar cemas dan trauma
- Mangsa feri terbakar diminta buat laporan polis
Lee berkata semua operator harus mempunyai pelan kecemasan untuk menyelamatkan para penumpang, pelancong dan kakitangannya jika kemalangan berlaku.
"Antara lain, mereka perlu melaksanakan latihan keselamatan dan pengungsian atau evakuasi sebagai sebahagian rancangan pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan, agar semua kakitangan bersedia menghadapi sebarang jenis kecemasan," katanya.
Katanya, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA 1994) telah menetapkan bahawa setiap majikan termasuk operator feri dan bot menjalankan tanggungjawab menyediakan tempat kerja selamat untuk pekerja dan orang yang melawat dan menggunakan kemudahan mereka.
-- BERNAMA