KOTA BHARU: Individu dan pihak berkaitan termasuk pemilik gudang, peruncit serta pengedar produk tembakau digesa memohon lesen untuk pengedaran atau pengeluaran tembakau.

Pengerusi Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) Datuk Wan Abd Rahim Wan Abdullah berkata setakat ini 30,000 lesen diluluskan di seluruh negara termasuk 3,000 di Kelantan.

Beliau berkata LKTN mengesan masih ramai pemilik gudang, peruncit serta pengedar produk tembakau terutama di kawasan luar bandar tidak memohon lesen pengedaran atau pengeluaran tembakau.

"Bagi mengatasi perkara ini, usaha memaksimumkan permohonan lesen tembakau pengedaran atau pengeluaran tembakau, LKTN membuat penguatkuasaan pintar termasuk turun padang di kawasan fokus bagi menghebahkan mengenai pelesenan.

"Kita mengesan banyak premis tidak peka untuk memohon lesen ini termasuk peruncit, sedangkan mereka menjual serta mengedarkan produk tembakau dan jika didapati bersalah boleh dikenakan kompaun maksimum sehingga RM250,000," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Kibar Jalur Gemilang dan Jelajah Merdeka LKTN 2024 di Pekarangan Ibu Pejabat LKTN, di Kubang Kerian di sini, pada Rabu.

Sebelum ini media melaporkan LKTN telah melesenkan 29,098 daripada 38,067 premis berdaftar di seluruh Semenanjung untuk pengedaran atau pengeluaran tembakau sejak 1 Januari 2023 hingga 15 Julai lepas.

Mengenai program hari ini, Wan Abdul Rahim berkata 15 kenderaan LKTN yang dihiasi Jalur Gemilang dilepaskan bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini.

Beliau berkata konvoi disertai 33 kakitangan LKTN itu memulakan perjalanan dari Kelantan hinggalah ke Pulau Pinang melibatkan jarak sekitar 500 kilometer.

"Jelajah Merdeka ini juga merupakan program turun padang bagi mendekati pemain industri, sekali gus berkomunikasi secara terus bagi mendapatkan pandangan dan cadangan penambahbaikan industri kenaf," katanya.

-- BERNAMA