KUALA LUMPUR: Pemberian vaksin CoronaVac keluaran Sinovac terhadap kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun dalam Program imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) bermula esok dijangka mampu membantu golongan berisiko itu dilindungi daripada dijangkiti COVID-19.

Menurut Ketua Jabatan Pediatrik Hospital Sungai Buloh, Dr See Kwee Cheng, selain memberi pilihan kepada ibu-bapa, vaksin CoronaVac juga jelasnya berkesan terhadap golongan itu.

"Vaksin ini alternatif kedua dalam PICKids untuk kanak-kanak 5-11 tahun. Ini adalah lanjutan daripada usaha kerajaan mencapai target vaksinasi sekitar 80 peratus golongan ini demi menurunkan angka jangkitan COVID-19.

"Ia vaksin nyah aktif tidak seperti MNRA, keberkesanannya telah diakui Pusat Kawalan Dadah Kebangsaan berdasarkan data negara Chile, dimana pada ujian percubaan dijalankan di negara itu mencatatkan keberkesanan sehingga 77 peratus untuk mencegah jangkitan kepada kanak-kanak dan mengelakkan kemasukan ke hospital," jelasnya ketika ditemubual Astro AWANI pada Ahad.

Tambahnya, kelulusan bersyarat itu amat dialu-alukan oleh rakyat terutama ibu bapa yang berharap agar anak mereka turut dilindungi.

Mengulas lanjut tambahnya, penularan varian Omicron yang semakin membimbangkan juga perlu diambil kira oleh setiap ibu-bapa.

Justeru dengan adanya vaksin CoronaVac katanya ia sekali gus dapat membantu mengurangkan kadar jangkitan serta kemasukan ke hospital.

"Keberkesanan dibenarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melepasi paras 50 peratus jadi ini berdasarkan ujian yang telah dijalankan pada orang dewasa, remaja dan sekarang kanak-kanak 5-11 tahun.

"Kadar keberkesanannya memang cukup berkesan dan dapat menurunkan kadar jangkitan dan kemasukan ke hospital. Keberkesanan vaksin ini dipengaruhi varian Omicron dalam masyarakat kita, dimana ia lebih mudah berjangkit dan mengurangkan daya kekebalan seseorang individu itu.

"Ia menyebabkan kadar keberkesanan itu menurun terhadap varian Omicron ini berbanding varian Delta dan sebelum itu. Ini tidak bererti vaksin yang ada pada program PICKids tidak berkesan. Ia cukup berkesan," jelasnya lagi.

Malah ketika ini maklumnya tiada kategori 4 dan 5 melibatkan kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun di hospital, tidak seperti ketika penularan varian Delta sebelum ini.

Dengan adanya vaksin itu, tambahnya lagi, peralihan dari fasa pandemik ke endemik juga dapat dilakukan apabila golongan berisiko tinggi berjaya dilindungi.


Vero-Cell merangsang sistem imuniti

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai vaksin CoronaVac, jelas Dr Kwee Cheng, dos yang diberikan kepada kanak-kanak adalah sama seperti dos bagi orang dewasa yang menerima Sinovac.

Jelasnya, ia kerana vaksin nyah aktif (Vero-Cell) digunakan dalam CoronaVac bagi merangsang sistem imunisasi individu untuk meningkatkan tahap antibodi ke paras yang diinginkan.

"Jadi seperti vaksin influenza yang lain diberikan kepada kanak-kanak juga sama dengan dos dewasa dan ini semua berdasarkan asal usul vaksin itu adalah perlu merangsang kesan sistem imuniti untuk meningkatkan tahap antibodi pada paras tertentu untuk melindungi kita.

"Ini adalah mekanisme yang berbeza jadi dengan paras yang sama dengan orang dewasa tidak ada apa-apa masalah, tetapi itu mekanismenya dan kesan sampingan daripada CoronaVac ini mereka tahu adalah sangat jarang dijumpai," jelasnya lagi.

Terdahulu, Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dalam kenyataan memaklumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mula menawarkan vaksin CoronaVac itu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) terpilih bermula 7 Mac ini.

Jelasnya, keputusan itu dibuat selepas Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah yang ke-370 pada 3 Mac lalu meluluskan secara bersyarat penggunaan vaksin kedua bagi program PICKids itu.