Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi dikatakan tidak tersenarai sebagai calon Menteri Besar Kedah sekiranya Pakatan Rakyat kekal sekali lagi menerima mandat untuk membentuk kerajaan negeri.

Pas sebaliknya dikatakan meletakkan harapan kepada Naib Presiden parti, Datuk Mahfuz Omar dan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Datuk Dr. Mohd Hayati Osman untuk jadi Menteri Besar Kedah yang baru.

Sumber dalaman Pas memberitahu Astro Awani, Mahfuz dan Dr. Mohd Hayati disenaraikan bersama seorang lagi tokoh akademik yang masih dirahsiakan namanya.

"Tiga nama ini merupakan nama yang telah dipersetujui oleh Pas Pusat untuk dicalonkan sebagai Menteri Besar baru," kata sumber tersebut.

Bagaimanapun sumber itu memberitahu, hubungan baik Phahrolrazi yang juga ADUN Pengkalan Kundor dengan 'pihak tertentu' di Kedah mungkin menyebabkan senarai tersebut ditolak.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena dikatakan akan bertanding salah satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan parlimennya manakala Dr Mohd Hayati disebut-sebut akan bertanding di DUN Tokai dalam kawasan parlimen Pendang.

Kawasan Parlimen Pokok Sena mempunyai 3 kerusi DUN iaitu Bukit Lada, Bukit Pinang dan Derga. Dalam pilihan raya umum yang lalu, Pas menang 2 daripada kerusi DUN tersebut iaitu Bukit Pinang dan Bukit Lada.

Laporan media sebelum ini menyebut, ADUN Bukit Pinang, Datuk Mohd Roshidi Osman bakal melepaskan kerusi yang disandang sejak dua penggal lalu.

Phahrolrazi dalam satu temubual bersama Astro Awani baru-baru ini menyatakan kesediaan untuk memegang jawatan Menteri Besar Kedah namun menyatakan tidak akan melobi jawatan tersebut yang kini dipegang oleh Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Azizan dalam pada itu dilihat berdepan tekanan selepas sekumpulan ahli PAS mendesak beliau berundur daripada menerajui parti itu di peringkat negeri.