Komander Briged Tenggara PGA SAC Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata rampasan dilakukan selepas anggota yang menjalankan rondaan Op Taring Wawasan melihat sebuah kenderaan dipandu dalam keadaan mencurigakan kira-kira 4 pagi.
"Pasukan operasi PGA9 kemudiannya mengekori kenderaan tersebut namun suspek yang menyedari telah memecut laju sebelum memberhentikan kenderaan di tepi jalan di Kampung Panji dan melarikan diri.
"Hasil pemeriksaan terhadap van jenis Naza menemukan kotak-kotak besar mengandungi 150,000 batang rokok putih tidak bercukai," katanya dalam kenyataan hari ini.
Nik Ros Azhan berkata hasil rampasan diserahkan ke Komtak Taman Bakti dan kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.
-- BERNAMA