Semua individu dari negeri ini yang hadir ke perhimpunan kumpulan tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling, Kuala Lumpur akhir bulan lepas diminta segera melaporkan kehadiran mereka kepada pejabat kesihatan atau jabatan agama negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor Tosrin Jarvanthi dalam kenyataan pada Khamis berkata kesemua mereka yang terlibat dalam perhimpunan itu diminta melaporkan diri ke Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) daerah atau pejabat kesihatan daerah dengan kadar segera.

Pada Rabu, Kementerian Kesihatan meminta peserta yang menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur dari 27 Feb hingga 1 Mac lepas supaya tampil dan memberi kerjasama kepada agensi itu bagi memastikan jangkitan COVID-19 tidak terus merebak dalam komuniti.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata berdasarkan maklumat awal, perhimpunan tabligh itu membabitkan anggaran 10,000 orang dari beberapa negara termasuk kira-kira 5,000 peserta dari Malaysia.

Baru-baru ini, kes pertama positif COVID-19 di Brunei dilaporkan, dipercayai dijangkiti ketika menghadiri majlis keagamaan di negara ini.

-- BERNAMA