Seorang penjawat awam yang baru sahaja bersara bulan lalu maut dalam kemalangan jalan raya di Jalan Paradom-Bintangor dekat sini melibatkan sebuah kereta dan lori tangki minyak, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, mangsa dikenali sebagai Muhamad Seman, 60, dari Bandar Baru Sibu Jaya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak ambulans yang tiba di lokasi.

"Kemalangan berlaku pada 5.20 petang, apabila kereta mangsa jenis Perodua Kancil yang bergerak dari arah Sarikei ke Sibu terbabas sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan lori itu yang bergerak dari Sibu ke Sarikei semasa cuaca hujan," katanya.

Pemandu lori tangki minyak itu yang berusia 32 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata, pasukan Bomba dan Penyelamat Bintangor berjaya mengeluarkan mangsa pada 7 malam.

Difahamkan mangsa pernah bertugas di Jabatan Pertanian Sarikei dan Pejabat Daerah Sarikei sebelum bersara.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor, Nicholas Belulin berkata, setibanya di lokasi pihaknya mendapati kereta mangsa telah terbabas ke dalam parit yang berair akibat kemalangan itu dan mangsa kemudiannya dikeluarkan dari kereta menggunakan peralatan menyelamat bomba.

-- BERNAMA