Kementerian Pendidikan memperuntukkan kira-kira RM500,000 untuk membaik pulih kerosakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pantai akibat angin kencang dan hujan lebat, lewat petang Jumaat.

Ketua Setiausahanya, Datuk Dr Mohd Gazali Abas berkata, terdapat banyak kerosakan yang berlaku melibatkan dua blok bangunan termasuk 10 buah kelas dan makmal sekolah.

"Kita lihat bilik darjah terjejas serta rosak teruk selain bumbung juga tercabut. Jadi kita akan mencari cara bagaimana untuk memperbaikinya dalam kadar segera," katanya kepada pemberita ketika sidang media di sekolah berkenaan, pada Sabtu.

Hadir sama, Anggota Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil dan Penasihat Khas Menteri Pendidikan, Wan Saiful Wan Jan.

Susulan itu, katanya, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWKL) akan membuat pemantauan awal sebelum dibaik pulih sepenuhnya oleh Jabatan Kerja Raya (JKR)

"Mengikut peraturan semasa, kita boleh laksanakan perolehan darurat yang diuruskan JPWKL dalam tempoh dua minggu.

"Lepas itu, kita akan buat penyelesaian kekal bersama-sama JKR dalam tempoh tiga bulan," katanya.

BACA: Hujan lebat, angin kencang jejaskan beberapa kawasan di ibu negara

Pada masa sama, katanya, sesi pembelajaran di sekolah berkenaan juga akan berjalan seperti biasa.

"Kita akan menggunakan semua ruang yang ada di sekolah ini malah semua guru juga sudah ada pelan tersendiri agar pembelajaran mereka tidak akan terjejas," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Fahmi mengalu-alukan semua jenis sumbangan daripada masyarakat agar dapat meringankan beban sekolah.

"Ada beberapa individu menyatakan minat untuk memberi sumbangan pada pihak sekolah. Ini adalah satu sikap yang terpuji dan saya berharap agar seluruh Lembah Pantai dapat membantu," katanya.

--BERNAMA