KUALA LUMPUR: Peruntukan yang diterima oleh Sabah masih tidak mencukupi berbanding peruntukan yang dimohon bagi membaikpulih lampu jalan di Jalan Persekutuan di seluruh negeri itu.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, peruntukan yang dimohon adalah berjumlah RM15.6 juta bagi tempoh 2020 hingga 2023.

Bagaimanapun, jelas beliau Sabah hanya menerima peruntukan tahunan sebanyak RM4.9 juta bagi tempoh sama.

"Untuk makluman Yang Berhormat, Kementerian ini berusaha untuk mengagihkan peruntukan yang ada secara menyeluruh meliputi semua daerah dengan mengambil kira panjang Jalan Persekutuan di Sabah sepanjang 1501.84 kilometer (KM), manakala di daerah Sandakan 69.58KM.

"Terdapat sejumlah 7,333 bilangan lampu jalan di seluruh Jalan Persekutuan Sabah, manakala 1,682 bilangan lampu Jalan Persekutuan berada di daerah Sandakan," katanya pada Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab pertanyaan Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan) yang meminta Kementerian menyatakan secara terperinci berapakah peruntukan tahunan yang diperuntukkan bagi menyelenggara lampu jalan di Jalan Persekutuan di Sabah dan mengapa lampu jalan yang rosak di Jalan Persekutuan di Sandakan boleh dibiarkan tidak dibaiki selama lebih enam bulan.

Menjawab lanjut, Abdul Rahman berkata bermula dari 2020 hingga 2022, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah telah melaksanakan beberapa kerja pembaikan lampu jalan di sepanjang Jalan Persekutuan di seluruh negeri itu berdasarkan peruntukan semasa yang diluluskan.

Pembaikan berkenaan, tambah beliau, dilaksanakan dengan memberi keutamaan kepada pembaikan kecemasan lampu jalan di kawasan kemalangan.

"Bagi tahun 2023, permohonan dari daerah Sandakan adalah sebanyak RM500,000 bagi kos menyenggara lampu jalan dan lampu isyarat pada tahun ini.

"Namun kelulusan peruntukan semasa Fasa 1 bagi seluruh lampu Jalan Persekutuan Sabah yang dapat disalurkan adalah sebanyak RM550,000 sahaja untuk diagihkan kepada 21 daerah bagi kelulusan bajet Fasa 1.

"Untuk Fasa 1 2023, agihan yang disalurkan kepada JKR Sandakan adalah sebanyak RM60,000 untuk menyenggara lampu Jalan Persekutuan di daerah berkenaan dan keutamaan difokuskan kepada lokasi 'blackspot' sahaja," jelas beliau.