KUALA LUMPUR: Global Reporting Initiative (GRI), pertubuhan bebas bukan keuntungan antarabangsa yang turut berkaitan dengan standard pelaporan, berhasrat membuka pejabat di Malaysia bagi menumpukan keperluan tempatan selain menyokong perjalanan negara ini ke arah pelaporan kelestarian.

GRI yang berasaskan sokongan pelbagai pihak berkepentingan, terbabit dalam usaha menggalakkan aspek kelestarian ekonomi, alam sekitar dan sosial.

Malah, standard pelaporannya juga paling banyak digunakan secara sukarela di peringkat dunia dengan 168 dasar di 67 negara dan rantau yang memerlukan piawaian GRI.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Eelco van Der Enden berkata minat terhadap pelaporan impak juga terbukti kian ketara apabila semakin banyak negara serta pelaburan mengutamakan keperluan berkaitan dengan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

"Oleh itu, kami amat berminat untuk beralih daripada pusat atau ibu pejabat tradisi kami di Amsterdam bagi mendapatkan lebih banyak sokongan di lapangan serta di peringkat tempatan.

"Di Malaysia misalnya, kami mahu memahami keperluan perniagaan tempatan, persepsi pelabur serta bagaimana kami dapat membantu program latihan dan pendidikan menggunakan bahasa tempatan yang sesuai untuk pasarannya," katanya pada sidang media sempena majlis makan malam ESGright.com mengenai ESG serta aspek pelaporan kelestarian.

ESGright.com merupakan sebuah firma penasihat khusus ESG dan kelestarian selain menjadi rakan latihan yang mendapat pengiktirafan GRI.

Van der Enden berkata sebanyak 61 peratus syarikat Malaysia secara sukarela menggunakan piawaian pelaporan GRI manakala kira-kira satu peratus tidak melaporkannya langsung.

Singapura menerajui kedudukan 10 negara dunia dari segi pelaporan berdasarkan piawaian GRI atau mempunyai kadar pelaporan kelestarian tertinggi.

Beliau berkata, lebih 50 peratus daripada piawaian GRI turut dimuat turun dalam versi bukan Bahasa Inggeris, sekali gus membuktikan minat mendalam global terhadap peraturan ketat ditetapkan oleh negara atau ekonomi seperti Kesatuan Eropah.

Menurutnya, tanpa laporan kelestarian itu boleh menyebabkan syarikat-syarikat berisiko diketepikan dalam keperluan lebih kompleks yang menjejaskan rantaian bekalan dagangan.

"Kalangan komuniti pelabur juga lebih memberi perhatian terhadap laporan kelestarian. Pada kesudahannya, saya menjangkakan pelaporan kelestarian secara mandatori itu tidak dapat dielakkan bagi pasaran modal dalam usaha mewujudkan peluang atau persaingan yang sama rata," katanya.

-- BERNAMA