Majikan disaran memberikan cuti khas tanpa rekod kepada pekerja mereka yang ingin melakukan kerja-kerja kesukarelawanan.

Pengerusi Yayasan Salam Malaysia Datuk Ahmad A. Talib berkata, ia sekali gus membuka lebih ruang kepada individu untuk melakukan kerja-kerja sukarela tanpa mengambil cuti tahunan masing-masing.

Jelasnya, ia dapat dilakukan seandainya kementerian berkenaan membuat peruntukan yang membolehkan perkara itu dilaksanakan.

"Dia (majikan) boleh tetapkan contoh setahun tidak boleh ambil lebih 12 hari misalnya atau 14 hari umpamanya.

"Ia membolehkan orang yang mahu menjadi sukarelawan itu memohon, dia perlu sebut apa jenis sukarelawan, apa buktnya dan ambil cuti untuk buat kerja sukarelawan.

"Kalau penuh syarat permohonan dapat, cuti dapat iaitu cuti tanpa rekod. Jadi cuti tahunannya untuk hal peribadi tidak terjejas," katanya semasa sidang media selepas menjadi pembicara utama Breakfast Talk Integriti: Sukarelawan: Suka, rela atau sebaliknya - dari perspektif integriti di sini hari ini.


Selain Ahmad, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (Integriti) Datuk Dr Anis Yusal Yusoff dan Pengerusi Yayasan Sukarelawan Siswa Datuk Zuraidah Atan turut menjadi pembincang topik berkenaan.

Ia dikendalikan Pengarah Pusat Koordinasi, Pemantauan dan Penilaian Integriti Hamilye Sham Harun.

Sementara itu Anis menjelaskan, budaya integriti boleh dipupuk menerusi kerja-kerja amal dan sukarela.

"Ia memberi maksud melakukan sesuatu dengan kehendak sendiri, tanpa dipaksa-paksa atau dikerah.

"Di sinilah integriti seseorang itu dapat dinilai iaitu dibuat dengan niat ikhlas dan tidak mengharapkan apa-apa pulangan kepada diri sendiri," katanya.

Jelasnya lagi, semangat kesukarelaan adalah asas kepada perpaduan sesebuah negara.