Beliau berkata segala persiapan berjalan dengan sangat lancar tanpa sebarang halangan untuk sambutan yang bakal berlangsung di Padang Merdeka di sini pada 16 Sept ini.
Acara raptai hari pertama yang diadakan hari ini memfokus kepada persiapan teknikal terutama dari segi pementasan, pencahayaan dan sistem bunyi.
"Raptai penuh akan diadakan pada hari kedua (Jumaat) dan ketiga (Sabtu) yang memfokus kepada keseluruhan persiapan seperti hiasan pentas serta persembahan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah.
"JKKN akan menampilkan persembahan khas gabungan tarian tradisional etnik Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia sebagai simbolik keharmonian negara kita," katanya kepada Bernama ketika meninjau raptai itu pada Khamis.
Mengulas lanjut, Alesia berkata beliau yakin segala persiapan yang dilakukan ketika ini mampu memberikan hasil terbaik sekali gus mengangkat nama Sabah selaku tuan rumah Sambutan Hari Malaysia 2024.
Tinjauan di Padang Merdeka pada Khamis malam mendapati petugas sibuk memasang peralatan bunyi dan cahaya manakala pentas serta khemah sudah siap didirikan.
-- BERNAMA