PUTRAJAYA: Sambutan Hari Kebangsaan 2024 yang akan diadakan di Dataran Putrajaya Sabtu ini dijangka berjalan lancar, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan Hari Malaysia (HKHM) 2024 berkata hal itu susulan raptai penuh sambutan hari ini berlangsung tanpa sebarang masalah, dengan semua perarakan dan persembahan berjalan mengikut perancangan.

"Kita jangkakan segala persiapan ini akan membuahkan hasil yang cukup positif pada Sabtu nanti," katanya selepas menyaksikan raptai penuh sambutan Hari Kebangsaan 2024 di sini hari ini.

Bagaimanapun, Fahmi berkata terdapat beberapa aspek penyelarasan yang perlu ditambah baik bagi memastikan kesempurnaan perjalanan sambutan pada 31 Ogos ini.

"Kita doakan semoga semua persiapan dan juga acara nanti berjalan dengan baik serta lancar," katanya.

Persembahan acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan 2024 bertemakan "Jiwa Merdeka" itu dijangka berlangsung selama dua jam, antara lain menampilkan 25 pancaragam, 479 aset ketenteraan dan pertunjukan udara. Ia dijayakan kira-kira 17,000 peserta daripada 59 kontinjen.

-- BERNAMA