KUALA LUMPUR: Sokongan daripada ibu bapa, guru bahkan kementerian amat penting dalam usaha memastikan kanak-kanak terutamanya di peringkat pra-sekolah lebih bersedia untuk masuk ke sekolah kelak.

Penglibatan ibu bapa dalam proses pembelajaran juga sangat mustahak namun ia bukanlah untuk menggantikan peranan guru sebaliknya satu bentuk sokongan kepada anak-anak.

Pakar Psikologi Pendidikan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Prof Madya Azlina Mohd Kosnin mencadangkan beberapa perkara, antaranya menyediakan modul khusus untuk anak-anak dan manfaatkan teknologi terkini dalam telefon pintar.

Selain itu, beliau juga mencadangkan ibu bapa menyediakan tempat khas untuk anak-anak belajar di dalam rumah.

“Kalau boleh, sediakan satu tempat khusus yang mana kanak-kanak ini khusus untuk belajar kerana kanak-kanak ini suka kestabilan dan rasa selamat.

“Kalau dia nampak macam rutin harian, dia boleh terima dengan rela, lebih yakin dan nak belajar daripada cakap kepada mereka, 'sekarang, pergi belajar' dan lepas itu mereka tak tahu nak buat apa.


Kabinet Baharu | 100 hari bukti pencapaian dalam pendidikan

“Jadual itu adalah satu perkara yang penting dalam kehidupan anak-anak supaya dia tahu apa untuk dijangkakan dalam satu hari seperti pagi-pagi dah bangun bersedia, sama macam nak pergi sekolah,” katanya ketika bersiaran langsung dalam Buletin AWANI pada Ahad.

Tambah beliau, tiada cara pantas untuk mempersiapkan anak-anak untuk bersedia ke sekolah, semuanya perlu dilakukan mengikut perancangan yang tepat.

“Kanak-kanak atau manusia ini diibaratkan seperti pokok, kalau saya nak buat analogi. Kita tiada satu cara ‘shortcut’ untuk menyediakan kanak-kanak ini agar mereka bersedia untuk bersekolah.

“Kalau letak baja banyak-banyak pun, pokok mati. Begitu juga kanak-kanak.

“Kalau untuk persekolahan ini, kita beri mereka dengan begitu banyak perkara sebelum untuk ke sekolah, mungkin kanak-kanak ini tertekan dan tak boleh terima apa diberikan,” ujarnya.