KUALA LUMPUR: Persiapan bagi menyambut perayaan Deepavali yang akan diraikan oleh seluruh penganut Hindu pada Ahad ini, dilihat semakin rancak.

Hujan lebat hampir setiap petang di ibu kota tidak melunturkan semangat mereka untuk keluar membeli-belah mendapatkan keperluan bagi sambutan 'Pesta Cahaya' itu, dengan tumpuan terutama di Little India, Brickfields dan Lebuh Ampang di sini, selain Jalan Tengku Kelana, Klang, Selangor.

Tinjauan Bernama mendapati orang ramai tidak kisah dibasahi hujan demi memastikan persiapan bagi perayaan tahun ini sempurna termasuk membeli pakaian tradisional, barangan kemas, manisan dan juadah tradisional seperti muruku dan 'Nei Urundi'.

Turut mendapat tumpuan penganut Hindu ialah di Karnival Deepavali 2023 yang diadakan di tempat letak kereta terbuka Bukit Jalil, dengan menyediakan pelbagai tawaran menarik.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Agenda Suria Communication Sdn Bhd iaitu penganjur karnival, Jaggarao Simancha berkata setakat ini, kira-kira 100,000 orang telah mengunjungi karnival itu yang bermula 3 hingga 11 Nov ini.

"Ada baki beberapa hari lagi, kami yakin dapat capai sasaran 400,000 pengunjung. Apa yang menarik, karnival ini yang telah diadakan sejak 20 tahun lepas, turut memikat bukan sahaja pengunjung Malaysia malah pelancong dari Singapura, Indonesia dan Australia," katanya.

Jaggarao juga mengakui karnival itu antara yang popular di negara ini kerana syarikat beliau mahu menjadikan Malaysia sebagai hab perdagangan barangan dan perkhidmatan untuk masyarakat India di Asia Tenggara.

Sementara itu, seorang pengunjung, Lina Dharshini Sivakumar, 25, berkata membeli-belah dalam hujan agak mencabar jika berada di kawasan terbuka, tetapi bernasib baik kerana di Karnival Deepavali ini terdapat khemah yang dilengkapi dengan penyaman udara.

"Setiap tahun memang hujan apabila musim perayaan Deepavali. Ia perkara biasa, tetapi tetap mencabar terutama jika kita membeli-belah pada saat akhir," katanya.

Melvin Paul Kaur, 26, pula berkata karnival tersebut menawarkan barangan berkualiti pada harga lebih rendah berbanding kedai lain dan harganya boleh ditawar.

Penganut Hindu seluruh dunia akan menyambut Deepavali pada Ahad ini untuk meraikan kebaikan mengatasi kejahatan pada Saturthasi Tithi, hari ke-14 bulan Iypasi, berdasarkan kalendar Hindu panjangam setiap tahun.

Deepavali dalam bahasa Sanskrit bermaksud 'Pesta Cahaya', dengan penganut Hindu akan menerangi rumah mereka menggunakan lampu tanah liat dan sumbu yang dipanggil 'diyas' atau lampu-lampu lain.

Cahaya keemasan daripada lampu-lampu itu bukan hanya menandakan kehangatan yang dibawa oleh cahaya tetapi juga bermaksud pencapaian dalam segala perkara seperti kekayaan, kemasyuran, ilmu, kejayaan dan kedamaian.

-- BERNAMA