Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas Malaysia (PMBOA) pada Ahad berkata mereka mengalu-alukan pemansuhan subsidi diesel untuk bas ekspres dengan syarat penetapan tambang tidak dikawal kerajaan.

Presidennya Datuk Asfar Ali berkata membenarkan kuasa pasaran untuk menentukan harga akan membolehkan pengusaha menghadapi kos bahan api dan operasi yang lebih tinggi berikutan penghapusan subsidi.

"Pengendali bas ekspres menghadapi peningkatan dalam kos operasi kerana gaji yang lebih tinggi, kos bahan api dan alat-alat ganti.

"Kita tidak memerlukan subsidi tetapi biarlah mekanisme pasaran menentukan harga tambang bas ekspres" katanya kepada Astro Awani hari ini sebagai tindak balas kepada penghapusan subsidi bahan api untuk RON95 dan diesel mulai 1 Disember.

Bas ekspres mempunyai kuota 2,880 liter diesel subsidi sebulan.

Penyahkawalseliaan tambang juga katanya, akan membolehkan penumpang menikmati perkhidmatan yang lebih baik daripada pengusaha bas.

"Oleh kerana harga tambang dikawal kerajaan, kita tidak mampu untuk membeli bas yang lebih canggih dengan ciri-ciri keselamatan yang lebih baik. Kami tidak dapat menyediakan perkhidmatan yang lebih inovatif seperti muzik pelbagai saluran dan filem, kerusi yang lebih baik dan juga selimut" tambah Asfar.

Asfar berkata pengusaha bas tempatan turut berisiko kehilangan perniagaan apabila Kawasan Perdagangan Bebas Asean (Afta) mula berkuat kuasa tahun depan.

"Sebaik sahaja sempadan dibuka melalui skim Afta, pengendali bas dari Singapura, Thailand dan Indonesia akan beroperasi di sini. Kami tidak akan dapat bersaing dengan mereka jika kerajaan masih mengawal tambang" katanya.

Walaupun persatuan itu mengalu-alukan pemansuhan subsidi diesel bagi bas ekspres, Asfar berkata pengusaha bas henti-henti masih memerlukan subsidi untuk meneruskan perniagaan.

"Kos operasi adalah terlalu tinggi bagi bas henti-henti. Kebanyakan penumpang datang dari sektor berpendapatan rendah yang tidak mampu membayar tambang bas yang lebih tinggi. Mengekalkan harga tambang tanpa subsidi diesel boleh membuat syarikat-syarikat ini keluar dari perniagaannya” katanya.

Pada masa ini, bas henti-henti mempunyai kuota 1,440 liter diesel subsidi sebulan.

Kerajaan, melalui Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) juga telah memperuntukkan RM400 Juta di bawah Peringkat Dana Sokongan Bas Interim untuk membantu pengusaha bas henti-henti yang sedang mengalami kerugian.

Inisiatif yang bermula pada 3 Januari 2012, bertindak sebagai langkah sementara untuk menampung kekurangan dalam operasi harian pengendali bas henti-henti yang terjejas, terutamanya di laluan sosial.