Ini hasil persiapan yang telah dan sedang dilakukan oleh kerajaan Arab Saudi dan juga Lembaga Tabung Haji di tanah suci.
Di Madinah peningkatan infrastruktur utama ialah pada pintu udaranya iaitu Lapangan Terbang Prince Mohammad bin Abdulaziz baru siap dan mula beroperasi.
Lapangan terbang ini hanya untuk umat Islam dan dilengkapi kemudahan khas untuk jemaah haji.
Jemaah haji yang tiba atau berlepas tidak lagi terpaksa bersesak di terminal tetapi boleh berehat dan beribadah di bangunan-bangunan khas yang dikenali sebagai Pavilion Haji.
Ini dijangka bukan sahaja akan memendekkan waktu menunggu tetapi juga melancarkan urusan keluar masuk ke madinah dengan licin.
Menurut Redhuan Sabarudin, Konsul Haji Lembaga Tabung Haji Madinah, peningkatan ini penting untuk keselesaan jemaah Malaysia yang menjadi kelompok pengunjung setia ke kota suci ini.
“Kepentingan Madinah ni, selain daripada menjadi tumpuan ibadah ziarah, ia juga menjadi tumpuan keberangkatan dan kepulangan hampir separuh jemaah haji Malaysia. Itu menunjukkan betapa pentingnya madinah ini dalam operasi haji setiap tahun,” tegasnya lagi.
Redhuan juga yakin aspek penginapan dan katering yang sudah ditempah dan dibereskan awal memberikan lokasi strategik dan suasana mesra ibadah bagi memudahkan kunjungan ke tempat suci seperti Masjid Nabawi.
Kemudahan bagi setiap individu jemaah negara dijamin tersedia.
Redhuan berkata di Madinah misalnya datang pergi jemaah Malaysia melalui empat pusingan dan setiapnya sudah dipadankan dengan jumlah peningapan yang tepat.
“Bangunan hotel Al Haram boleh menempatkan 2,500 katil, Hotel Movenpick 1,625 katil dan di Hotel Saha 730 katil. Kita menjangkakan ini mencukupi untuk menempatkan jemaah-jemaah haji kita yang sampai dari Malaysia,” beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama kumpulan media Malaysia yang meninjau persiapan perkhidmatan haji di Madinah dan Mekah.
Lembaga Tabung Haji juga sedang menyiapkan kemudahan petugas dan pusat perubatan jemaah haji di bangunan tujuh tingkat pejabat Tabung Haji Madinah yang baru, Dar al-Jeffri.
Selain menempatkan pusat operasi untuk kira-kira dua ratus orang petugas, Dar al-Jeffri juga mampu memberikan khidmat perubatan kecemasan dan wad pesakit bagi jemaah yang memerlukan.
Ini mampu memberikan kelebihan dan kelapangan fikiran kepada warga malaysia yang bakal mengerjakan haji mereka tidak beberapa bulan saja lagi.