KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak membenarkan pengeluaran wang dari Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk menunaikan haji.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, tiada sebarang pengeluaran bagi akaun tersebut kerana kerajaan mahu memastikan ahli sekurang-kurangnya mempunyai simpanan asas sebanyak RM240,000 semasa bersara.

Bagaimanapun, jelas beliau, ahli masih boleh mengeluarkan wang mereka dari KWSP melalui Akaun 2 dan Akaun 3 atau Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel. 

“Meskipun begitu, ahli turut dibenarkan membuat pengeluaran bagi tujuan lain seperti perumahan, insurans hayat dan penyakit kritikal, kesihatan, kesuburan dan umur 50 tahun melalui Akaun Sejahtera.

“Akaun fleksibel turut diwujudkan bagi membolehkan ahli membuat pengeluaran bagi apa-apa tujuan pada bila-bila masa.

“Bagi jumlah pula (ahli keluar wang untuk tunaikan haji), sejak diperkenalkan pada 2013, sebanyak 6,070 permohonan haji dari Akaun Sejahtera telah diluluskan.

“Amaun pengeluaran pula ialah RM16.7 juta, bersamaan purata RM2,759 bagi setiap permohonan,” katanya.

Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat pada Isnin, menjawab soalan tambahan Abdul Ghani Ahmad (PN - Jerlun) yang bertanya adakah kerajaan akan menukar polisi, membenarkan pekerja mengeluarkan wang dari Akaun 1 KWSP untuk menunaikan haji.