KUALA LUMPUR: Kebangkitan rakyat Palestin dan masyarakat dunia menentang serta menolak keganasan rejim Zionis di Gaza, memberi keyakinan Israel akan lenyap tidak lama lagi.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamed Sabu berkata keyakinan itu, berasaskan perjuangan rakyat Palestin melawan kezaliman Israel kini diterima masyarakat antarabangsa.

"Cukup-cukuplah...kamu sudah menjadi 'mustabirin' dan rakyat di seluruh dunia bangun menyokong perjuangan rakyat Palestin dalam melawan penindasan.

"Sekarang hanya tinggal Amerika Syarikat dan Britain sahaja yang menyokong Israel, sedangkan negara-negara Eropah lain, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mereka juga turut bangun membela rakyat Palestin," kata Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu, ketika menyampaikan pidato pada Himpunan Malaysia Bersama Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini pada Selasa malam.

Pidato kemuncak pada program disertai lebih 16,000 penyokong perjuangan Palestin daripada pelbagai latar belakang itu, disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu Timbalan Menteri Kewangan Steven Sim Chee Keong berkata dunia kini melihat isu di Palestin tidak hanya dari sudut pandang agama, tetapi lebih utama ialah aspek kemanusiaan yang perlu diberi perhatian.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu berkata dari sudut parti, DAP melalui tokoh veterannya Tan Sri Lim Kit Siang sejak sekian lama menyatakan komitmen termasuk di Parlimen, bahawa revolusi Palestin perlu disokong oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa.

"Ya, saya simpati dengan sesiapa pun jika ditindas walau di mana mana mereka, tetapi kita jangan lupa rakyat Palestin ditindas oleh halocaust Zionis.

"Dari sungai ke senggara, Palestin pasti merdeka!," katanya mengakhiri ucapan disambut laungan bebas Palestin oleh hadirin.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan mendesak masyarakat antarabangsa untuk bertindak, dalam menamatkan kekejaman Zionis Israel terhadap Palestin.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata tindakan Zionis Israel terhadap rakyat Palestin adalah kejam dan tidak berperikemanusiaan.

"Negara kuasa-kuasa besar memberi sokongan kepada rejim Israel, maka Malaysia di bawah Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), mesti membawa suara kita pada malam ini supaya mendesak masyarakat antarabangsa dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lakukan sesuatu untuk hentikan kekejaman yang berlaku di Palestin," katanya.

Mohamad turut menyeru rakyat negara ini, untuk terus memberikan sokongan dan sumbangan dalam pelbagai bentuk kepada rakyat Palestin.

Terdahulu, laungan 'Bebas Gaza', 'Hidup Palestin', 'Bangkit Gaza', 'Israel Cuak', 'Hancur Zionis', diiringi takbir bergema di segenap sudut dewan Axiata Arena, apabila majlis bermula sejurus hadirin selesai menunaikan solat Maghrib.

Acara dimulakan dengan pidato oleh Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Datuk Hasanuddin Mohd Yunus, yang berkongsi pengalaman yang dilalui dalam melaksanakan misi bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Ia disusuli ucapan Pengerusi Palestinian Culture Organization Malaysia (PIKOM) Dr Baderuddin Sayem, yang tampil menggesa sokongan berterusan diberikan rakyat Malaysia kepada penduduk Gaza, dengan menegaskan bahawa isu Palestin bukan sahaja berkait soal orang Islam, malah semua penganut agama lain.

Wakil Dewan Perniagaan Cina KL-Selangor Lee Chin Wai yang tampil ke pentas, menggesa PBB mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan konflik Israel dan Palestin yang telah meragut ramai nyawa.

Beliau mendesak agar proses gencatan senjata diusahakan secepat mungkin bagi menghentikan peperangan tersebut selain memastikan bantuan makanan serta ubatan dihantar segera ke Gaza.

Turut berucap pada himpunan itu ialah wakil bagi agama-agama lain di Malaysia.

Penyanyi, Faizal Tahir yang terkenal dengan lagu-lagu bertemakan kemanusiaan, kemudiannya tampil mempersembahkan lagu 'Assalamualaikum' bagi meredakan seketika bahang di Axiata Arena.

Penyanyi yang sering terlibat dalam misi kemanusiaan itu, turut meminta hadirin untuk bersatu kerana menurutnya, seluruh dunia boleh bersolidariti untuk Gaza, kerana tahu siapa berada di pihak yang benar dalam konflik tersebut.

Beliau turut mendoakan agar Allah SWT mengurniakan kemenangan dan memberi bantuan kepada seluruh rakyat Palestin, sebagaimana Allah memberi bantuan kepada Nabi Muhammad SAW ketika Perang Badar.

-- BERNAMA