KUALA LUMPUR: Kekentalan atlet Malaysia berjuang di Sukan Olimpik Paris 2024 menjadi pembakar semangat warga Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) untuk memajukan kedudukan eksport negara di persada dunia.

Pengerusi MATRADE Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata beliau ingin lihat semangat juang seperti yang dipamerkan barisan atlet negara diterapkan di perbadanan itu terutama dalam memenuhi mandat mencapai sasaran nilai eksport produk dan perkhidmatan berjumlah RM1.73 trilion menjelang akhir 2025.

Beliau berkata dalam mencapai sasaran itu, warga kerja MATRADE di kesemua 49 pejabat di seluruh dunia perlu mengharungi pelbagai cabaran yang dinamik seperti ketidaktentuan geopolitik di Timur Tengah, aktiviti pelanunan di sekitar Laut Merah, pergerakan nilai pertukaran mata wang, serta perubahan polisi perniagaan di seantero dunia.

"Semangat ini saya nak lihat sebab MATRADE adalah titik interaksi dalam aktiviti mempromosikan eksport negara dengan dagangan luar.

"Ini adalah antara usaha ke arah pemulihan keyakinan dunia luar terutamanya pelabur untuk menyaksikan ekonomi kita kembali berada di puncak seperti dahulu," katanya pada program Semarak Sokongan Team Malaysia di Olimpik Paris 2024 dan Pelancaran Sambutan Bulan Kemerdekaan MATRADE di sini semalam.

Pada program tersebut, warga kerja ibu pejabat MATRADE mengenakan pakaian sukan bermotifkan Harimau Malaya bagi menyatakan sokongan agensi itu kepada kesemua 26 atlet yang membawa cabaran negara pada Olimpik Paris 2024 selain menyanyikan lagu-lagu patriotik dan mengibarkan Jalur Gemilang.

Reezal Merican berkata Ogos tahun ini membawa 1001 makna kepada seluruh rakyat Malaysia kerana dapat menyaksikan atlet negara berjuang di Paris dalam kehangatan menyambut Bulan Kebangsaan.

"Sebab itu MATRADE memberi sokongan dan melaungkan kata-kata Team MAS, Demi Malaysia dan Merdeka pada hari ini agar ia menjadi inspirasi yang akan melekat di sanubari setiap 'Matraders' (warga MATRADE).

"Ini kerana dalam perjalanan membawa amanah di MATRADE, mereka juga adalah antara pejuang negara sebagaimana perjuangan yang dibawa oleh atlet di Olimpik Paris," katanya.

-- BERNAMA