Namun rasa keterujaan itu mungkin tidak dapat dikongsikan bagi dua murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi yang ditemui selamat dalam kejadian tujuh murid hilang Ogos lepas, Norieen Yaakob, 10, dan Miksudiar Aluj, 11.
Mereka masih lagi trauma dan tidak mahu kembali ke SK Tohoi.
Norieen dan Miksudiar tidak mahu mengingati tragedi pahit berkenaan yang menyebabkan lima rakan yang lain turut hilang.
Dalam kejadian tersebut, Norieen dan Miksudiar ditemui dalam keadaan kelaparan dan dehidrasi di tebing sebuah sungai di belantara Tohoi, selepas 47 hari hilang.
Berikutan kejadian itu, tidur Norieen tidak pernah lena dan kadang kala dia menangis pada waktu malam.
Miksudiar pula masih lagi berpantang makan kerana masalah jantung.
Walau bagaimanapun, bagi mereka, tidak ke SK Tohoi tidak bermakna untuk tidak terus bersekolah, malah mereka berhasrat untuk memulakan fasa kehidupan persekolahan yang baharu di SK Kuala Betis, Gua Musang.
Di sekolah itu, mereka percaya ia merupakan harapan yang terbaik bagi merawat semangat akibat kejadian hilang itu, yang masih menghantui fikiran mereka ketika ini.
"Saya harap akan ada perbincangan dengan Pejabat Pendidikan Daerah Gua Musang dan Jabatan Kemajuan Orang Asli untuk menyelesaikan perkara ini.
"Saya tahu SK Tohoi banyak melakukan penambahbaikan, tetapi anak saya tidak mahu bersekolah di situ lagi dan mahu dihantar ke SK Kuala Betis kerana ada kemudahan asrama," kata Ibu Norieen, Midah Angah, 40.
Dua anak Orang Asli hilang di Pos Tohoi masih trauma
Bagi Midah, walaupun Norieen sudah mula berselera makan dan ceria bersama ahli keluarga serta rakan, namun adakalanya dia suka menyendiri, menangis dan memberontak.
Katanya, sehingga kini Norieen masih mengingati dan terbayangkan adik dan rakan-rakannya lain, yang turut bertindak melarikan diri dari asrama pada Ogos lalu, kerana takut dikenakan hukuman oleh guru selepas mandi di Sungai Perias tanpa kebenaran.
Empat daripada rakan-rakannya, iaitu Ika Ayel, 9; Haikal Yaakob, 8; Linda Rosli, 8, dan Juvina David, 7, dengan kesemua mereka dari Kampung Gawin dan Kampung Penad, ditemui mati.
Seorang lagi mangsa, Sasa Sobrie, belum ditemui.
Murid Orang Asli SK Tohoi yang masih hilang adalah Sasa: Polis
“Memang terbayang-bayang. Macam hari itu dia ada keluar bersama kakakya, dia kata dia ternampak adiknya.
“Sebab itulah saya takut dia kembali ke sekolah, saya takut dia masih lagi ternampak ‘bayang-banyang’ adik, dan kawan-kawan dia yang lain, termasuk saudaranya Juvina,” tambah Midah.
Begitu juga dengan Miksudiar yang ketika ini dilihat kurang bergaul dengan rakan-rakannya.
Menurut bapa saudaranya, Akek Bahir, 46, keadaan Miksudiar tidak seperti dahulu.
“Mungkin begitulah, kalau dulu saya tengok memang tidak samalah dengan keadaan sekarang ni.
“Dia bersembang, bergaul dengan kawan tapi sekarang ni kira nampaknya dah lain sikitlah, mungkin dia agak trauma sikitlah.”
DNA dua mayat sah milik murid Orang Asli
Kehilangan anak secara tiba-tiba dari asrama sekolah hampir lima bulan lalu turut memberi tamparan hebat bagi bapa Ika, Ayel Ajib.
Ayel ketika itu berada di Kuala Lumpur, untuk melawat anaknya yang lain yang bersekolah di Segambut.
Bertambah gelisah dan sebak apabila dia tidak dapat pulang terus pada hari yang sama untuk mencari anaknya berikutan kehabisan tiket bas di Kuala Lumpur, memandang ketika itu adalah musim cuti Hari Raya Aidiladha.
“Pada 23 Ogos saya berada di Kuala Lumpur. Anak saudara saya, dia menelefon pada keesokan harinya, dan menyatakan bahawa Ika telah hilang.
“Jadi pada masa yang sama, saya tidak dapat balik kerana pada ketika itu tiada lagi tiket dijual di Terminal Bersepadu Selatan. Sudah habis ketika itu kerana cuti raya Haji,”tambahnya.
Setelah mendapat tiket pulang beberapa hari kemudian, Ayel terus mula mencari anaknya di sekitar jambatan dan asrama sekolah di Pos Tohoi.
Walau bagaimanapun, pencariannya tamat pada 9 Oktober, apabila dia bersama isterinya, Nora Tegeu, 39, membuat pengecaman ke atas anaknya, menerusi gelang tangan manik yang dibuat Nora dan dipakai Ika, serta pakaian sukan yang dipakai mangsa.
Nora, dalam tangisannya hanya mampu menyebut nama Ika beberapa kali sambil ditenangkan oleh suaminya serta petugas mencari dan menyelamat, yang fasih berbahasa Temiar.
Kini, setelah beberapa bulan kejadian tersebut berlaku , Ayel dan Nora serta keluarga yang terbabit masih bersedih dan masih belum pulih kerana masih mengenang kejadian yang menimpa anak-anak mereka
Setiap hari mereka akan ke kawasan perkuburan yang terletak di Kampung Penad, Pos Simpor untuk melawat anak mereka yang dikebumikan dalam satu lubang kubur bersama tiga lagi rakannya yang lain.
Perjalanan ke Kampung Gawin dan Kampung Penad, mengambil masa kira-kira empat jam dari Gua Musang memandangkan laluannya yang berbukit, tidak berturap dan hanya boleh dimasuki dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda.
Kebanyakan penduduk hanya menggunakan motosikal di sekitar kampung-kampung berkenaan kerana tidak berkemampuan memiliki kenderaan pancuan empat roda.
Namun laluan berliku berkenaan tidak menghalang keluarga mangsa untuk melawat kubur anak mereka.
Bagi mereka, hari mendatang terasa tidak lengkap sekiranya tidak menatap kubur anak .
“Saya memang masih lagi ingat sebab keadaan isteri saya dalam keadaan trauma. Keluarga kami pun dalam keadaan trauma,” kata Ayel.
Begitu juga bapa kepada Linda, Rosli Ali, dia akan memastikan kawasan sekitar perkuburannya anaknya bersih setiap kali melawat.
“Kadang-kadang datang, dua hari, tiga hari, ikutlah. Kalau pergi ke hutan, saya akan membersihkan kawasan perkuburan.
“Jadi mahu cakap lebih-lebih, tiada ada juga. Saya sudah buntu sekarang ini,” tambah Rosli.
Hiba terkenang kehilangan anak
Operasi mencari dan menyelamat kehilangan kanak-kanak Orang Asli di Pos Tohoi (OPS TH7) ini disertai oleh Angkatan Tentera Diraja Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Pusat Kokurikulum Jabatan Pendidikan Negera, Pasukan Gerakan Am, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) serta agensi-agensi lain.
Mengikut rekod, tiga tahun lalu seorang murid berusia 7 tahun dari Pos Gob, mati lemas ketika mandi di Sungai Perias, Pos Tohoi iaitu lokasi terakhir tujuh kanak-kanak Orang Asli ini sebelum hilang pada Ogos lalu.