Selepas lebih 10 tahun penganjuran pertamanya pada 2005, Kongres dan Pameran Warisan Melayu Sedunia 2014 bakal menghimpunkan semua penggiat seni, cendekiawan dan semua pihak berkaitan yang mencerminkan penghayatan bangsa Melayu.

Pengerusi Jawatan Kuasa Pameran dan Padanan Perniagaan Kongres Warisan dan Pameran Melayu Sedunia 2014, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, ia sekali gus menanam semangat, aspresiasi serta penghayatan terhadap warisan bangsa bermula dari kecil sehingga ke peringkat tertinggi.

"Ia diadakan bagi mengulangi sejarah kejayaan dalam menghimpunkan kembali penggiat seni, budayawan, cendiakawan, penggubal dasar dan pihak-pihak berkaitan dalam menghasilkan resolusi dalam memangkin keunggulan Warisan Seni Bangsa.

"Ia bakal mengumpul semua jenis seni warisan lama dan memberikan impak yang besar kepada Bangsa Melayu terutamanya, dan juga termasuk bangsa bangsa lain dalam mengingati semula nostalgia pada zaman dahulu kala," katanya.

Sohaimi berkata demikian pada sidang media penganjuran Kongres dan Pameran Warisan Melayu Sedunia 2014 di sini hari ini.

Turut hadir, Presiden Persatuan Pedagang Dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama), Datuk Moehamad Izat Emir; Naib Presiden II Perdasama, Datuk Naim Mohamad; Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni) UiTM, Prof. Dr. Norsaadah Ismail dan Pengarah Pejabat Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni (ICAN) UiTM, Prof. Madya Dr. Faizah Abdul Majid.

Kongres yang bakal diadakan pada 28 sehingga 29 Oktober ini merupakan program unggul dengan kerjasama Perdasama bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Penganjuran buat kali ke-2 ini diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu bakal memperkenalkan ahli panel Melayu di seluruh dunia, seperti Kemboja, Sulawesi Selatan, Thailand, Afrika Selatan, New Zealand dan Jerman.

Khazanah atau warisan Melayu yang bakal diketengahkan adalah seni tenunan dan tekat, kraftangan dan anyaman, seni ukiran halus, seni ukuran kayu, resepi dan masakan tradisional, alat muzik tradisional, tarian tradisional, Kesusteraan, senjata dan perkara berkaitan Melayu.

Dalam pada itu, Dr. Norsaadah menjelaskan, hasil dapatan dan khazanah ilmu daripada pembentangan kertas kerja persidangan oleh ahli panel antarabangsa akan dibukukan untuk rujukan masa depan.

"Antara tajuk pembentangan kertas kerja ialah Gen Melayu, Pemetaan Masyarakat Melayu, Takrif Warisn dan Produk Tamadun Bangsa dan Membangun Usahawan Warisan Dalam Negara dan Sedunia.

"Ini menunjukkan kita sebenarnya besar bukan hanya di Malaysia tetapi di peringkat global dan mereka akan berkongsi ilmu mengenai kejayaan dan ketahanan usahawan Melayu di peringkat global," katanya.

Sohaimi turut memaklumkan, mana-mana individu atau kumpulan yang berminat untuk menyertai kongres itu boleh menghubungi sekretariat kongres di 03-20952002/04/05/06 atau melawat laman web www.perdasama.org.my untuk keterangan lanjut.