Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe akan mengadakan kunjungan rasmi dua hari ke malaysia mulai 25 julai ini sempena lawatan beliau ke rantau Asia Tenggara merangkumi Singapura dan Filipina.

Abe dijadual bermesyuarat dengan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak bagi membincangkan isu semasa selain bertukar pandangan mengenai hubungan dua hala dan serantau serta antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

Menurut kenyataan Kementerian Luar, kedua-dua pemimpin juga dijangka membincangkan hala tuju dasar pandang ke Timur dengan menumpu kepada perluasan pembangunan ekonomi.

Lawatan kedua Abe ke malaysia dilihat bakal memperkukuh hubungan dua hala yang sedia terjalin antara Malaysia dan Jepun.

Jepun adalah pelabur asing terbesar bagi tempoh 1980 hingga 2012 dengan nilai pelaburan 22 bilion dolar yang mewujudkan lebih 300,000 peluang pekerjaan.