KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan mengadakan perbincangan mengenai hala tuju pelaksanaan 5G negara bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Selasa ini.

Menteri berkenaan Fahmi Fadzil berkata perbincangan itu untuk melihat beberapa perincian bagi memastikan pelaksanaannya adalah telus dengan seramai mungkin penduduk mendapat manfaat dan perkhidmatan 5G diberi pada harga berpatutan.

"Saya jangkakan ia mungkin tidak terlalu lama dari sekarang, saya percaya Kabinet akan memutuskan (hala tuju pelaksanaan 5G).

"Proses (perbincangan) itu untuk menjamin keterangkuman, maka perlu beri sedikit masa," katanya kepada pemberita pada Majlis Nur Ramadan di Masjid Ar-Rahah Kampung Kerinchi di sini hari ini.

Berdasarkan siri perbincangan yang diadakan setakat ini, beliau percaya penelitian dari segi rangkaian kejuruteraan dan matlamat yang ingin dicapai mampu membuahkan beberapa opsyen yang akan Kabinet putuskan.

Sementara itu, Fahmi mengingatkan orang ramai supaya mendapatkan maklumat berhubung tarikh Aidilfitri tahun ini daripada sumber rasmi dan tidak terikut-ikut dengan berita yang disebarkan di media sosial.

"Saya mengingatkan hanya satu tarikh yang akan kita ikut iaitu (tarikh) yang diumum oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja. Saya mohon semua merujuk hanya daripada sumber yang rasmi sahaja.

"Saya percaya rakyat Malaysia akan rujuk pengumuman rasmi itu nanti dan tidak terikut-ikut apa yang mungkin disebarkan sama ada melalui WhatsApp, TikTok atau media sosial lain kerana ini mungkin akan menimbulkan kekeliruan," katanya.

Terdahulu, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai ketika berucap pada majlis itu berkata pihaknya bersama TIME dotCom Bhd (TIME) akan melancarkan pelan Internet pada harga rendah di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) seluruh negara minggu depan.

"Kita akan bekerjasama dengan pihak yang lain untuk selesaikan masalah ini, tapi saya bukan hanya tumpu kepada kawasan Lembah Pantai sebaliknya seluruh negara menjadi keutamaan saya," katanya.

-- BERNAMA