Perbahasan usul pindaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU 355 ditangguhkan ke sesi sidang Dewan Rakyat akan datang.

Keputusan itu dibuat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dengan menggunakan kuasanya sebagai Speaker Dewan Rakyat sesudah Ahli Parlimen Kota Bharu Datuk Takiyuddin Hassan menyampaikan usul menyokong pindaan akta tersebut.

"Setelah mendengar hujah Marang (Hadi) dan hujah sokongan dari Kota Bharu (Takiyuddin), saya benar-benar jelas mengenai RUU 355.

"Memetik kata seorang pemimpin Sabah iaitu 'when you are in power, you are powerful. But if you don't use your power, you are bloody fool.' Hari ini saya tidak mahu jadi 'bloody fool' (kerana tidak menggunakan kuasa)," katanya.

LAPOR LANGSUNG: Pembentangan pindaan RUU 355

Keputusan itu ditentang hebat beberapa Ahli Parlimen terutamanya dari Pakatan Harapan yang tidak berpuas hati kerana mereka tidak diberi ruang untuk melontar pendapat sepanjang hujah menyokong oleh Takiyuddin sehingga berlaku kekecohan.

Pandikar bagaimanapun tidak menghiraukannya dan terus berlalu keluar meninggalkan dewan yang terus hiruk pikuk selama beberapa minit.

Sesi Dewan Rakyat akan datang dijadual berlangsung pada 24 Julai dan berakhir pada 10 Ogos 2017.