Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan menyumbang balik pelarasan gaji tujuh peratus itu dibuat secara sukarela atas keprihatinan terhadap permasalahan rakyat dan keadaan fiskal negara.
"Saya amat berterima kasih kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) atas kepimpinan mereka dan barisan pengurusan tertinggi gred utama Turus yang menunjukkan teladan secara sukarela mereka memberi sedikit cadangan, sementara menerima sistem pelarasan gaji ini, tetapi mencadangkan supaya sanggup melepaskan pelarasan gaji permulaan ini.
"(Keputusan itu) untuk menunjukkan kesediaan mereka menyokong langkah-langkah kerajaan. Jadi maknanya untuk gred Turus (kenaikan sebanyak) tujuh peratus itu, tidak akan diambil walaupun ada cadangan mereka sikit (tetapi) saya tambah tujuh peratus.
"Ini kerana menteri-menteri masih potong (gaji) sebanyak 20 peratus dan Perdana Menteri masih belum ambil gaji. Jadi elok Turus beri contoh yang baik," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Sebelum ini, media melaporkan SSPA akan dilaksanakan menggantikan Skim Saraan Malaysia (SSM) mulai 1 Disember ini, menyaksikan kira-kira 1.6 juta penjawat awam mendapat pelarasan gaji baharu selepas kali terakhir disemak pada 2013.
Anwar ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Ke-19, mengumumkan pelarasan gaji penjawat awam sebanyak 15 peratus kepada kumpulan pelaksana.
Manakala bagi pengurusan tertinggi penjawat awam, kenaikan gaji sebanyak tujuh peratus berdasarkan pelaksanaan SSPA.
Ujar beliau, pelarasan itu akan dilaksanakan secara bertahap dengan fasa pertama bermula 1 Disember ini, manakala fasa seterusnya akan bermula 1 Januari 2026.