MH370
Tragedi kehilangan pesawat MH370 memang tidak dinafikan sedikit sebanyak memberi impak kepada kita. - Foto fail

Takut, gelisah, khuatir, itu antara luahan daripada segelintir masyarakat untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan udara selepas berlakunya tragedi kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370.

Memang tidak dinafikan, tidak kiralah apa latar belakang kita, sebagai rakyat Malaysia kehilangan pesawat ini sedikit sebanyak memberi impak kepada kita.

Setahun selepas insiden itu berlaku, beberapa persoalan timbul: adakah masih wujud satu kebimbangan di kalangan masyarakat untuk menaiki kapal terbang? Atau kebimbangan ini telah dilupakan mereka?

Ikuti tinjauan Astro AWANI di sekitar ibu kota untuk mendapatkan reaksi orang ramai mengenai isu ini.


"Lebih mengingati Tuhan" - Raden, 28, jurugambar

“Saya memang sentiasa melancong, dalam negeri dan di luar negara, jadi akan datang pun akan melancong lagi. Dan perasaan saya selepas insiden MH370 memang berbeza.

“Dulu kalau lama mana pun penerbangan atau lagi panjang penerbangan saya, lagi saya suka. Tapi kalau sekarang kalau boleh saya nak cepat sampai. Sebab perasaan saya kini berlainan. Maknanya kalau naik kapal terbang saya akan lebih ingat kepada Tuhan.

“Tragedi MH370 ini memang memberi kesan yang sangat besar, kepada saya keluarga, dan masyarakat Malaysia. ”
mh370

LIHAT FOTO ALBUM BERDOA UNTUK MH370


“Kena kurangkan takut dan terus menyokong penerbangan Malaysia” - Julfikar Bongsu, 35, pengurus hotel

“Sebagai rakyat Malaysia, saya rasa terkejutlah tentang kejadian itu. Seperti saya dari Sabah selalu datang Kuala Lumpur dengan menaiki kapal terbang. Jadi memang rasa takutlah bila dengar berita macam tu. Kita pun rasa-rasa nak terbang pun susah tau. Fikir dua kali nak pergi.

“Permulaan memang takut tapi sekarang ni memang kurang sikitlah. Lagipun sebagai rakyat Malaysia, kita patut terus memberi sokongan kepada penerbangan Malaysia. Tak kan kita nak bagi nampak dengan orang asing yang kita takut juga.

“Jadi, perasan takut atau tidak itu memang 50/50 akan muncul. Sekurang-kurangnya, sekarang ini selepas setahun, saya rasa okaylah.

"Kalau rasa takut macam mana kita nak ke luar negara?" - Sivahani Nadesan, 48, guru

“Perasaan saya apabila mengetahui berita kehilangan MH370, saya rasa sangat sedihlah. Ya, mengenangkan banyak nyawa yang tak berdosa terkorban, jadi memang satu peristiwa yang paling menyayat hati di Malaysia, dalam sejarah kita.

“Saya tak takut (untuk menaiki pesawat), sebab kalau rasa takut macam mana kita nak ke luar negara, bukan? Jadi kena follow-up, kena juga pergi naik kapal terbang. Saya tidak takut, saya berserah kepada Tuhan.

Hasil tinjauan Astro Awani juga mendapati ada yang sependapat dengan Sivahani dan Julfikar di mana kita tidak perlu berasa takut kerana pengangkutan udara adalah penghubung kita dengan dunia luar.


MH 370
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Hussein, dalam satu sidang media berkenaan kehilangan pesawat MH370 - Foto Fail

"Pengangkutan udara adalah perantara kita untuk mengenali dunia luar" - Habibah Ali, 60, Surirumah

“Akak dah pergi ke Mekah, ke Indonesia baru-baru ini dan tahun lepas akak pergi ke Sabah. Akak tak takut, itu semua suratan takdir. Bahkan, pengangkutan udara adalah perantaraan kita negara ke negara lain.

“Kalau kita takut bagaimamana kita mahu melawat negara orang? Kalau bukan dengan menaiki kapal terbang?

“Takut memang takut, tapi tak kan tak nak terbang kan. Harapnya agar pesawat MH370 itu dapat ditemuilah, harapan kami semua. - Rosfaeza Alimat


"Saya tidak takut untuk menaiki kapal terbang" - Muda Mohamad, 71, pesara

“Mula-mula memang terperanjatlah apabila menerima berita macam tu (insiden kehilangan pesawat MH370) tapi lama-lama tu macam biasalah, tiada rasa apalah.

“Kita kena tahu bahawa, insiden kehilangan itu boleh menimpa siapa-siapa atau apa-apa sahaja. Bukan sahaja kapal terbang, kalau ia akan terjadi apabila kita menaiki kereta, ia akan terjadi juga. Itulah, saya rasa tidak takutlah untuk naik kapal terbang walaupun selepas MH370 hilang.”


“Harapnya pesawat MH370 itu dapat ditemui” Rosfaeza Alimat, 31, juru X-Ray

“Semasa saya nak beli tiket pun saya berasa takut jugalah tapi sebab saya ada keluarga di Kuala Lumpur jadi saya kuatkan hati sajalah.

“Takut memang takut, tapi tak kan tak nak terbang kan. Harapnya agar pesawat MH370 itu dapat ditemuilah, harapan kami semua.


"Apa-apa pun berlaku kita tidak boleh salahkan mana-mana pihak 100 peratus" - Aida, 19, pelajar

“Saya bukan selalu menaiki kapal terbang. Namun selepas insiden itu memang ada rasa takut sedikit (untuk menaiki kapal terbang) tapi beranikan dirilah. Pada pendapat saya, apa-apa pun yang berlaku kita tidak boleh menyalahkan mana-mana pihak seratus peratus.

Walaupun kerajaan pada 29 Jan secara rasmi mengisytiharkan tragedi pesawat MH370 sebagai kemalangan dan semua 227 penumpang dan 12 anak kapal dianggap telah terkorban, masih ramai yang berdoa agar pesawat ini dijumpai.

Sungguhpun ia berita yang pahit, janganlah kita mudah menuduh jari kepada mana-mana pihak. Berilah sokongan kepada keluarga mangsa.

Jangan pernah kita berhenti berharap kerana usaha mencari pesawat jenis Boeing 777-200 ER ini masih dijalankan. Semoga segala urusan dipermudahkan. #SetahunMH370