Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri Wong Hon Wai berkata kapal latihan JinggangShan 999 telah bertolak dari pelabuhan Zhanjiang, China pada 9 Mac 2014 ke kawasan pencarian pesawat yang hilang ketika dalam penerbangan ke Beijing itu.
"Sepanjang 62 hari operasi pencarian, kapal JinggangShan 999 telah menjelajah kawasan yang luas termasuk Teluk Thailand, Sumatera dan kawasan barat daya serta barat laut Australia dengan jarak pelayaran melebihi 31,000 kilometer (km)," katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebooknya hari ini.
Beliau menjelaskan hubungan Malaysia dan China adalah baik dan pemimpin utama telah melawat antara satu sama lain, justeru lawatan silaturahim kapal pelatih bersama pelajar-pelajar Naval University of China harus dilihat dari sudut positif.
Mengenai kunjungan pelatih dari Naval University of China ke sebuah sekolah persendirian di sini, Wong berkata sekolah itu mempunyai lebih 1,900 pelajar dari Indonesia, Thailand, China dan negara lain sepertimana sekolah swasta lain.
EXCO-KAPAL CHINA 2 (AKHIR) GEORGE TOWN
Beliau berkata lebih 30 pelajar dari China di sekolah itu telah mengibarkan bendera negara mereka semasa sambutan tersebut manakala pelajar-pelajar tempatan mengibarkan bendera Jalur Gemilang dan Negeri Pulau Pinang.
"Gambar yang disebar luas menerusi media sosial hanya menunjukkan pelajar berasal dari China mengibarkan bendera China dan sebenarnya terdapat gambar-gambar lain pelajar tempatan mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Negeri Pulau Pinang," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata kapal-kapal tentera laut negara asing lain juga pernah berlabuh di pelabuhan di Malaysia mengikut saluran rasmi dan protokol.
Wong berkata mengambil contoh pada 25 Feb 2019, lebih 20 anggota Marin Tentera Amerika Syarikat iaitu USS Ashland (LSD 48) dan 31st Marine Expeditionary Unit (MEU) telah melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Inanam di Kota Kinabalu, Sabah serta berinteraksi dengan pelajar sekolah itu menerusi beberapa aktiviti.
Pada 5 Okt lepas, Pulau Pinang mengumumkan kedatangan 1,000 orang dari China ke negeri itu dengan Kapal Latihan Qi Jiguang dan Kapal JinggangShan dari Zhanjiang, untuk kunjungan silaturahim.
Kunjungan itu diuruskan oleh Pejabat Konsulat General China di Pulau Pinang dan dua kapal pelatih berkenaan berlabuh selama tiga hari serta telah beredar menuju ke Chittagong, Bangladesh.
-- BERNAMA