BERA: Kakitangan Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) tidak menyangka usaha mereka menghias kenderaan dengan membentuk imej logo Paip, jata negeri Pahang dan Jalur Gemilang menggunakan lampu LED membawa tuah apabila dipilih sebagai pemenang dalam Pertandingan Kenderaan Berhias pada Program Ambang Merdeka, di Kerayong, Selasa.

Penolong Pegawai Pengurusan Daerah Hezree Ishak berkata, walaupun hanya memenangi tempat ketiga namun usaha selama tiga hari menghias kenderaan jabatan dengan bendera dan lampu LED sangat berbaloi.

"Ini merupakan penyertaan pertama kali Paip dalam Pertandingan Hiasan Kenderaan sempena Sambutan Kemerdekaan di sini, dan kemenangan ini adalah di luar jangkaan kami.

"Seramai 12 kakitangan terlibat dalam menghias kenderaan inj dan kami mendapat sokongan dalam bentuk wang tunai dari Paip Negeri Pahang bagi menjayakan usaha ini.

Usaha selama tiga hari menghias kenderaan jabatan dengan bendera dan lampu LED sangat berbaloi. - Foto Astro AWANI

Hezree berkata, memandangkan pertandingan itu diadakan pada malam Program Ambang Merdeka, penggunaan lampu LED adalah bersesuaian untuk menampakkan keceriaan dan kreativiti Paip selain meletakkan bendera.

BACA KANDUNGAN EKSKLUSIF ASTRO AWANI SEMPENA SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN 2022, DI SINI

Program Ambang Merdeka dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerja Raya dan Kemudahan Asas Pahang, Datuk Seri Norolazali Sulaiman.

Hadir sama, pegawai Daerah Bera, Datuk Zaman Azam Mohamad Sarif.

Seramai hampir 3,000 warga Bera membanjiri Laman Kerayong bagi menyaksikan pelbagai persembahan yang dijalankan sebelum detik jam 12 tengah malam.

Sementara itu, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) Bera diumumkan sebagai pemenang kedua berikutan penghasilan 'prop' yang kreatif.

Pegawai Risda Daerah Bera, Wan Mohd Rosmadi Wan Ibrahim berkata, kenderaan berhias ini adalah berkonsepkan Pekebun Kecil Makmur sempena sambutan 50 Tahun Jubli Emas Risda dan juga 65 Tahun Kemerdekaan Malaysia.

"Risda juga menerapkan nilai-nilai murni dalam kalangan pekebun kecil di samping menjadi agensi yang bertanggungjawab untuk kemajuan masyarakat pekebun kecil getah di negara ini.

"Menggunakan patung replika berpakaian tentera sambil memegang logo Merdeka ke-65 tahun dan Jubli Emas ke-50 yang diperbuat dari bahan kitar semula menjadi tarikan pengunjung dan juri," ujarnya.

Katanya, seramai 10 kakitangan bersama menzahirkan kreativiti masing-masing sebagai tanda semangat dan kecintaan kepada negara sempena Sambutan Kemerdekaan tahun ini.