Kemerdekaan dalam erti kata itu bermaksud kedaulatan undang-undang. Kemerdekaan bukanlah menggantikan satu set elit pemerintah yang kebal di sisi undang-undang dengan satu set elit pemerintah yang lain yang juga kebal di sisi undang-undang.
Malangnya, rasa kemerdekaan yang sebenar ini kekal dalam teori selama enam dekad. Kita telah melihat begitu banyak orang besar (VVIP) yang melanggar undang-undang berjalan bebas dengan sikap 'malu apa' manakala rakyat biasa dipenjarakan kerana melakukan kesalahan yang lebih kecil, atau lebih teruk, semata-mata kerana tidak bersetuju dengan atau mengkritik Kerajaan.
Dalam menyambut kemerdekaan 65 tahun untuk Tanah Melayu dan 59 tahun untuk Sabah, dan tidak lama lagi pembentukan Malaysia selama 59 tahun, kita harus ingat, kemerdekaan bukanlah suatu urusan yang selesai, sebaliknya merupakan kurniaan yang harus dilindungi dan dipelihara sepanjang masa.
Kemerdekaan adalah mengenai mempunyai undang-undang yang dibuat oleh penggubal undang-undang secara demokratik dipilih oleh warganegara dan diguna pakai atas semua tanpa mengira status politik, sosial atau ekonomi, dan latar belakang jantina, etnik, agama, linguistik, budaya, gaya hidup atau fizikal.
Apabila kita membiarkan kedaulatan undang-undang dihakis, kita sebenarnya membiarkan kemerdekaan kita terhakis, dan secara sinisnya menjadi kosong dalam intipatinya - kita memulihkan penjajahan di tengah-tengah kita, kecuali kali ini, dengan 'orang kita sendiri' sebagai tuan penjajah.
Dalam erti kata itu, sementara kita merasa dukacita bahawa sistem politik kita rosak sehingga seorang Perdana Menteri boleh mencuri berbilion-bilion ringgit dan tidak berasa malu, hakikat bahawa Datuk Seri Najib Razak akhirnya dapat dihantar ke penjara untuk menjalani hukuman 12 tahun bersama denda sebanyak RM210 juta untuk kes SRC membuktikan kedaulatan undang-undang tetap wujud di Malaysia, dan Malaysia tetap merdeka.
Kita merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Pendakwa Raya dan hakim-hakim di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan* kerana menjalankan tugas mereka dengan setia dan bersungguh-sungguh dalam perbicaraan SRC. Mereka adalah wira Merdeka kita.
Bagaimanapun, wira terhebat tidak lain tidak bukan adalah 12,246,483 pengundi yang membuang undi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). Tidak kira parti mana yang mereka sokong secara individu, secara kolektif mereka telah memilih Parlimen ke-14 yang menamatkan Kerajaan Najib Razak. Penunjukan tekad politik oleh pengundi Malaysia inilah yang membolehkan pihak Pendakwa Raya dan Badan Kehakiman menjalankan tugas mereka dalam kes SRC tanpa campur tangan politik di bawah tiga Kerajaan berturut-turut.
Dalam masa beberapa bulan, jika bukan beberapa minggu, yang akan datang, Malaysia memerlukan setiap seorang daripada 21.5 juta pengundinya untuk menjadi pembela Merdeka apabila Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan.
Penyokong kleptokrasi secara terbuka menggesa PRU15 awal dengan harapan bahawa peratusan keluar mengundi akan rendah, seperti yang kita lihat di Johor, dan memberikan mereka kemenangan. Di Johor, kurang daripada 55% pengundi keluar mengundi pada bulan Mac dan gabungan terbesar dapat memenangi 71% kerusi DUN dengan sokongan setipis 23% pengundi berdaftar.
Jika kita benar-benar menghayati Merdeka, kita mesti mengundi untuk parti-parti yang bertekad menjunjung kedaulatan undang-undang. Mana-mana parti atau gabungan yang berharap untuk memenangi PRU15 supaya mereka boleh melantik seorang Peguam Negara baru untuk menggugurkan pendakwaan dalam kes rasuah sedia ada ke atas Najib atau sesiapapun mesti disekat oleh kadar pengundian yang tinggi. Pembebasan daripada tuduhan seperti dalam kes Lim Guan Eng, Tan Sri Musa Aman, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Datuk Seri Ahmad Maslan, Riza Aziz dan Datuk Hasanah Abd Hamid kerana Jabatan Peguam Negara menggugurkan pendakwaan mesti tamat dan tidak berulang lagi.
Malaysia layak mendapat yang lebih baik. Malaysia layak mendapat 10 reformasi institusi yang berikut:
• Pejabat Pendakwa Raya yang bebas dan dipisahkan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) yang sepatutnya hanya berfungsi utama sebagai penasihat undang-undang Kerajaan;
• Perluasan kemudahan pengundian tidak hadir untuk pengundi luar wilayah (Sabah, Sarawak dan Semenanjung) dan pengundian pos yang dipermudahkan untuk pengundi luar negara, demi meningkatkan peratusan keluar mengundi;
• Had penggal selama sepuluh tahun untuk Perdana Menteri, demi mengurangkan rasuah dan ketidakstabilan politik akibat penumpuan kuasa;
• Akta Perkhidmatan Parlimen, demi membolehkan autonomi pentadbiran dan kewangan Parlimen untuk penambahbaikan dalam penggubalan undang-undang dan pemantauan kerajaan;
• Akta Pembiayaan Politik, dengan pembiayaan awam untuk parti politik, untuk membendung rasuah dan politik wang;
• Akta Peruntukan Pembangunan Kawasan (CDF), untuk memastikan semua ahli parlimen menerima peruntukan yang saksama untuk kawasan pilihan raya mereka;
• Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bebas, bertanggungjawab kepada Parlimen dan tidak dikawal oleh Perdana Menteri;
• Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ditambahbaik, bertanggungjawab kepada Parlimen dan tidak dikawal oleh Perdana Menteri;
• Peruntukan waktu "Urusan Ahli Persendirian" dalam persidangan parlimen dan langkah membolehkan "Rang Undang-undang Ahli Persendirian" demi memperkasakan kedua-dua Ahli Pembangkang dan Ahli Parlimen Barisan Belakang Kerajaan ( Government backbenchers);
• Konvensyen perlembagaan baharu Parlimen Berpenggal Tetap, di mana seorang Perdana Menteri hanya boleh memohon pembubaran awal Parlimen dalam dua keadaan, pertama, setelah hilang keyakinan Parlimen, atau, kedua, dengan sokongan dua pertiga daripada ahli parlimen untuk pilihan raya awal.
Malaysia layak mendapat yang lebih baik. Semua penambahbaikan-penambahbaikan institusi di atas boleh dilaksanakan sebelum PRU15 jika Parlimen ke-14 dapat berlangsung sampai ke akhir penggalnya sehingga 15 Julai 2023.
Malaysia layak mendapat yang lebih baik. Malaysia layak mendapat sumbangan anda sebagai pembela Merdeka yang menuntut penambahbaikan-penambahbaikan institusi yang mustahak ini.
Malaysia layak mendapat yang lebih baik. Malaysia layak mendapat undi anda dalam PRU15 yang menjunjung kedaulatan undang-undang dan demokrasi.
* Kenyataan ini dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pemandu BERSIH
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.