GEORGE TOWN: Beberapa jalan akan ditutup di kawasan George Town esok bagi memberi laluan kepada perarakan Hari Wesak peringkat Pulau Pinang yang dijangka dihadiri lebih 25,000 pengunjung.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata perarakan pada 7 malam itu akan bermula dan tamat di Jalan Burma iaitu berhadapan bangunan Persatuan Buddha Pulau Pinang membabitkan perjalanan sejauh lapan kilometer.

"Perarakan Hari Wesak itu melibatkan 30 pasukan membabitkan perarakan kereta berhias dan pelbagai lagi dengan anggaran penyertaan 200 orang dan kehadiran dijangka lebih 25,000 orang yang akan berada di kanan serta kiri jalan untuk melihat perarakan tersebut.

"Penutupan jalan akan dibuat secara berperingkat bermula 7 malam hingga 10 malam esok membabitkan Jalan Burma, Jalan Pangkor, Jalan Kelawai, Lorong Burma, Jalan Perak, Lebuhraya Peel, Jalan Macalister, Jalan Anson dan Lorong Madras," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata seramai 123 pegawai dan anggota polis terlibat dalam penugasan Hari Wesak esok terutama bagi menjaga lalu lintas di kawasan terlibat dan orang ramai dinasihatkan mematuhi arahan petugas ketika perarakan bagi mengelak perkara tidak diingini serta melancarkan pergerakan sepanjang perarakan itu.

Soffian berkata orang ramai juga dinasihatkan agar merancang perjalanan masing-masing agar tidak terperangkap dalam kesesakan jalan raya manakala pengunjung yang hadir perarakan itu diminta tidak membawa barangan berharga bagi mengelak menjadi mangsa seluk saku atau ragut.

Hari Wesak disambut oleh penganut Buddha sebagai acara keagamaan dan penghormatan kepada kelahiran, pencerahan agung dan pemergian Siddharta Gautama Buddha.

Sementara itu, Soffian berkata perarakan Pedati Perak sempena mini Thaipusam juga akan berlangsung esok iaitu bermula 6 petang dari Lebuh King, di sini hingga Kuil Air Terjun melibatkan perjalanan kira-kira 10 kilometer.

"Namun perarakan upacara keagamaan itu tidak melibatkan laluan yang sama dengan (perarakan) Hari Wesak yang juga berlangsung esok dan tiada penutupan jalan bagi Pedati Perak yang dijangka tiba 6 pagi keesokannya (6 Mei) kerana tidak melibatkan pengunjung yang ramai ... hanya jawatankuasa (Pedati Perak) yang terlibat," katanya.

Beliau berkata Pedati Perak itu akan berhenti di dua lokasi sahaja iaitu di kuil di Lebuh Victoria dan di Jalan Datuk Keramat berbanding ketika Thaipusam melibatkan banyak lokasi dengan kehadiran ramai pengunjung.

"Seramai 10 pegawai dan anggota polis terlibat mengawal trafik sepanjang Pedati Perak itu bergerak dan orang ramai dinasihatkan memberi kerjasama kepada pihak polis demi memastikan kelancaran aliran trafik," katanya.

-- BERNAMA