Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini menegaskan bahawa perairan Malaysia bukan merupakan tempat transit pemunggahan dan penyimpanan senjata api secara haram.

Ia sekali gus berkata laporan akhbar sebelum ini yang mendakwa kawalan maritim negara adalah longgar selain merujuk kepada kononnya senjata api disimpan di perairan Malaysia sebagai tidak tepat.

Komander Pasukan Polis Marin Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof berkata laporan itu berupaya mencabar kredibiliti pihak berkuasa yang didakwa gagal menangani aktiviti menjadikan Pelabuhan Klang sebagai transit untuk memunggah dan menyimpan senjata api milik kapal dagang.

"Dakwaan ini timbul berikutan salah tafsiran dan ketidakfahaman ke atas rakaman audio komunikasi antara kapal dagang terbabit dengan menara kawalan trafik Klang dan malim pelabuhan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Aziz menjelaskan bahawa mengikut peraturan yang ditetapkan pihak Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), semua kapal yang membawa masuk senjata api, amunisi dan pengawal keselamatan bersenjata perlu mengisytiharkannya terlebih dulu sebelum memasuki pelabuhan.

Mengikut ketetapan ini, prosedur yang perlu dipatuhi oleh setiap kapal dagang sebelum memasuki pelabuhan ialah dengan mengemukakan permohonan untuk mendapatkan lesen senjata api sementara daripada polis melalui syarikat berdaftar yang dilantik.

"Dalam isu melibatkan kapal ini, syarikat yang dilantik iaitu Kaisar Maritime (M) Sdn Bhd telah menghubungi kapal berkenaan bagi tujuan memunggah senjata api untuk disimpan di stor senjata syarikat berkenaan.

"Perhubungan inilah yang dipintas dan disalahertikan oleh pihak yang kurang arif tentang prosedur membawa atau penyimpanan senjata api di pelabuhan," kata Abdul Aziz.

Beliau berkata PDRM berharap pihak media lebih berhati-hati dalam membuat laporan kerana berita yang kurang tepat akan mengundang kegelisahan dan kegusaran masyarakat.

"Ia juga berupaya mencabar kredibiliti pihak berkuasa dalam melaksanakan undang-undang demi kesejahteraan rakyat dan negara," katanya.