KUALA LUMPUR: Penurunan kuasa kepada agensi teknikal di Sabah dan Sarawak seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) disifatkan sebagai penting dan satu langkah ke hadapan.

Pensyarah Kanan Politik Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah, Firdausi Suffian berpandangan, penurunan kuasa berkenaan mampu memastikan kedua-dua Kerajaan Negeri itu merencana pembangunan mereka sendiri, sekali gus mengurangkan karenah birokrasi.

"Contohnya macam di Sabah sebelum ini peruntukan bajet daripada Persekutuan untuk pembangunan bukan terus kepada Kerajaan Negeri tetapi melalui satu badan. Jadi ini boleh melambatkan proses pembangunan.

"Seperti JKR yang saya maklumkan tadi, ini boleh menjadi titik tolak untuk proses pembangunan. Desentralisasi juga sebenarnya (membolehkan) Kerajaan Negeri lebih responsif kerana kebertanggungjawaban sudah bearda kepada mereka, dan mereka yang menentukan, bukan lagi Kerajaan Persekutuan," katanya kepada Astro AWANI pada Isnin.

Beliau menambah pindaan perundangan di peringkat Kerajaan Persekutuan dan Negeri perlu, jika penurunan kuasa kelak dipersetujui.

Terdapat beberapa perundangan, katanya mungkin mengambil masa lama untuk dipinda termasuk melibatkan fungsi JKR.

Firdausi turut menjangkakan tuntutan sebanyak 40 peratus hasil Sabah yang dikutip Kerajaan Persekutuan kemungkinan besar akan dipenuhi secara berperingkat.

Selain itu, beliau berkata tuntutan bagi mengembalikan 35 peratus kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak, antara sukar untuk dipersetujui.

"Mereka tidak akan menidakkan kerana keperluan dan dinamika politik itu sentisa berubah. Jadi mungkin ini akan terus dibincangkan sebab kalau kita pun di Kerajaan Negeri terus berbincang 35 peratus ini.

"Mungkin beberapa perkara bukan sahaja tidak dipersetujui Kerajaan Persekutuan tetapi Kerajaan Negeri seperti contohnya, Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengatakan berkait rapat dengan Imigresen, sudah tentu ia jelas tiada kompromi kerana itu adalah hak Kerajaan Negeri.

"Satu lagi isu yang mungkin tidak dipersetujui ialah berkait minyak dan gas. Contohnya tentang royalti daripada lima peratus dinaikkan kepada 20 peratus. Ini bukan perkara yang muda untuk dipersetujui," ujar Firdausi.

Pada 4 Januari ini, Mesyuarat Kabinet dijangka mengumumkan keputusan berhubung beberapa tuntutan Sabah dan Sarawak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Antara yang dijangka diputuskan ialah penurunan kuasa kepada agensi teknikal JKR dan JPS.

Sebanyak 27 perkara melibatkan Sabah dan Sarawak akan dibangkitkan dalam memorandum Jemaah Menteri dan dibentangkan kepada Kabinet.

Daripada 27 perkara itu, 22 berkait dengan MA63 dan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), manakala lima lagi adalah syor tambahan.