Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, laporan kejadian itu diterima pihaknya pada jam 8.13 malam.
Katanya, kejadian dimaklumkan berlaku kira-kira jam 5 petang ketika penuntut jurusan perhotelan itu secara tiba-tiba rebah semasa berada di Fakulti Perhotelan.
"Penuntut lelaki itu disahkan meninggal dunia di wad kecemasan Hospital UiTM Puncak Alam dan mayatnya telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Mohd Hafiz berkata, siasatan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).
Sementara itu, satu tabung derma kilat buat Allahyarham Muhammad Faiz Mohd Sazali, 20, dilancarkan oleh Bachelor in Office System Society (BOSS) UiTM Puncak Alam untuk disumbangkan kepada keluarga arwah.
Menerusi satu hantaran di media sosial, memaklumkan tabung berkenaan dibuka selama tiga hari bermula semalam hingga esok. - Sinar Harian